Sabtu, Ogos 08, 2009

Dunia Sari Kaisara


Melihat kepada rupa dan fizikal si jelita bertubuh kecil ini, pasti ramai yang terkenangkan watak lakonannya sebagai Kaisara dalam drama bersiri berkisarkan remaja sekolah menengah dalam Kisah Kaisara.

Watak Kaisara yang diterajuinya sejak dua tahun lalu telah memberi impak yang bukan kecil kepadanya.

Benar, kerana watak yang 'keanakan-anakan' itulah nama pelakon comel yang gemar memperkenalkan diri sebagai Sari Yanti Mohamad Nazari itu mula dikenali ramai.

Melihat kepada fizikalnya pasti ramai yang tidak percaya bahawa usianya telah pun mencecah ke angka 25 tahun.

Sedar atau tidak, barangkali juga ramai yang tidak tahu bahawa si pemilik mata bundar yang mempunyai senyuman yang cukup menawan ini sebenarnya telah lapan bulan melayari hidup berumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya, Mohd. Eddy Casmady Che Hussin, 29.

Bertemu pada sidang media pelancaran musim terbaru Kisah Kaisara baru-baru ini, kebahagiaan jelas terpancar pada wajah anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Usai berbicara tentang kehidupannya kini, akui Sari Yanti, hidupnya semakin lengkap apabila sentiasa ditemani suami.

"Saya sukakan kehidupan saya selepas berkahwin," ringkas kata-kata yang terluah dari mulut juara Cleo Cover Girl Search 2005 itu sebaik membuka bicara perihal kehidupannya kini.

Menyambung perbualan, bagaikan tiada rahsia segalanya termasuk kegembiraan, masalah dan juga kegiatan hariannya dikongsi bersama suaminya itu.

"Sekarang saya sedar sudah ada tanggungjawab. Sudah ada suami dan rumah sendiri. Apabila melangkah setapak ke hadapan dalam kehidupan, saya dapat rasakan diri saya semakin menginjak dewasa.

"Dan apabila sudah berumah tangga, suami adalah kawan dan kekasih bagi diri saya. Segalanya saya bercerita dan berkongsi dengannya, termasuklah apa yang saya suka dan tentang kerjaya saya.

"Sampai satu tahap saya rasa diri saya sudah tiada sebarang rahsia dengannya," kata Sari tenang.

Sebagai seorang pelakon yang telah bergelar isteri, dia mengakui ada kalanya perasaan bersalah terhadap suami menerpa apabila terpaksa pulang lewat ke rumah.

"Kalau dah pulang lewat ke rumah sudah tentu kita akan rasa menggelabah, pandu kereta pun laju sebab nak sampai awal.

"Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana mempunyai suami yang cukup memahami kerjaya saya.

"Dia tidak pernah bertanya jika saya lambat balik. Malah, sejak berkahwin sehingga kini dia langsung tidak meletakkan sebarang syarat.

"Menariknya, suami saya jenis yang suka menggalakkan saya buat sesuatu kerja yang saya suka sebab itulah kadang-kadang terasa diri dah jadi macam surirumah moden pula," kata Sari sambil ketawa kecil.

Rezeki semakin mencurah

Mendirikan rumah tangga dalam usia muda bukan kekangan buat Sari Yanti untuk terus melibatkan diri dalam seni.

Malah, tanpa diduga kata Sari Yanti, rezekinya kini lebih murah berbanding sebelum berkahwin.

Baru sahaja selesai penggambaran lapan episod untuk Kisah Kaisara bersama syarikat penerbitan, Ace Motion Pictures, kini dia giat menjalani beberapa pengambaran untuk tele-filem yang bakal disiarkan Syawal nanti.

Antaranya ialah drama Secebis Doa yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, rezeki berlakon untuk saya setakat ini masih banyak walaupun sudah berkahwin.

"Banyak juga yang saya terima tetapi but masa ini semua drama episod saya tolak sebab terikat dengan tugas saya sebagai pengacara," kata Sari yang mengendalikan rancangan Gen X bersama Fizo.

Musim terbaru Kisah Kaisara

Biarpun Sari Yanti bakal menginjak ke usia 25 tahun, namun fizikalnya yang kecil dan kelihatan seperti remaja belasan tahun membuatkan watak Kaisara begitu tepat diberikan kepadanya.

Diam tak diam, Kisah Kaisara yang berjaya mencapai rating melebihi 3 juta penonton pada musim pertama kini sudah masuk musim ketiga. Drama ini telah mula disiarkan sejak 1 Julai lalu, setiap Rabu pukul 9.30 malam di TV9.

"Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, tetapi saya tak kisah melakonkan watak Kaisara.

"Tambahan pula ini sudah masuk musim ketiga. Bagi saya tidak ada masalah 'menjadi' Kaisara. Sebaliknya rasa geli hati pula sebab dah masuk usia 25 tahun pun masih boleh berlakon watak usia 16 tahun," katanya.

Masih lagi membariskan pelakon utama seperti Wan Sharmila Wan Mohamed dan Elliza Abdul Razak, wajah-wajah baru yang ditampilkan untuk musim kali ini ialah Catriona Ross, Ayu Shuhada dan Shahril.

Pengarahnya, Muhammad Husni Othman ketika ditemui pada majlis yang sama memberitahu, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan untuk kesinambungan kisah tersebut pada musim ini.

Jika dua musim lalu, Kaisara tinggal bersama ayahnya, Hasnor (Norman Hakim) tetapi untuk musim kali ini Kaisara tinggal bersama ibunya, Seri, watak lakonan Catriona Ross.

Pada musim ini, anda akan ketahui jawapan kepada tanda tanya mengapa ayah Kaisara teragak-agak untuk berkahwin semula.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts