Selasa, Ogos 18, 2009

Akhbar boleh bantu pertingkat kemahiran bahasa Inggeris pelajar

Oleh DR SHAIFUL ANNUAR KHALID
Universiti Teknologi Mara Perlis

'Usah malu bertutur dalam BI’. Itu adalah antara tajuk berita dalam akhbar Berita Harian bertarikh 16 Ogos lalu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laporan itu menasihat golongan muda lebih bersikap terbuka, berani dan tidak malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ini kerana kata Dr Mahathir, tabiat bertutur di dalam bahasa inggeris lama kelamaan akan menjadikan mereka fasih bertutur dalam bahasa antarabangsa itu.

Saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berhubung dengan saranan bekas Perdana Menteri itu.

Memang tepat sekali apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir bahawa perasaan malu akan menjadi antara penghalang utama seseorang individu daripada menguasai bahasa Inggeris. Sikap malu yang tidak bertempat bukan saja menghalang penguasaan bahasa Inggeris, malah apa juga bidang ilmu yang majoriti bahan rujukannya adalah di dalam bahasa Inggeris.

Memang tidak dinafikan bahawa kewujudan sistem pengajian bahasa Inggeris pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu untuk membantu pelajar meningkatkan tahap pemahaman bahasa Inggeris.

Peruntukan sejumlah waktu formal untuk belajar bahasa Inggeris memang membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris biarpun keberkesanannya juga bergantung kepada minat pelajar serta kaedah mengajar yang digunakan oleh seseorang guru atau pensyarah bahasa Inggeris.

Di samping itu juga, sejauh mana seseorang pelajar mampu untuk menguasai bahasa Inggeris banyak bergantung kepada inisiatif diri sendiri.

Jika wujud kesedaran di kalangan pelajar akan kepentingan bahasa Inggeris dan wujud inisiatif untuk meningkatkan penguasaannya, saya percaya individu berkenaan akan berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu.

Antara inisiatif yang boleh diambil pelajar untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa perlu mengeluarkan belanja besar adalah seperti berikut:

- Mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli surat khabar harian berbahasa Inggeris.

Setiap hari pelajar boleh mencari lima hingga sepuluh patah perkataan baru bahasa Inggeris serta konteks penggunaan perkataan itu serta maknanya.

Pelajar perlu menjadikannya satu amalan berpanjangan. Keupayaan untuk meningkatkan kefasihan bertutur sudah tentu bergantung kepada penguasaan perbendaharaan kata bahasa Inggeris yang banyak.

- Pelajar juga boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan cara menghayati animasi kartun di dalam akhbar berbahasa Inggeris. Dengan menghayati dialog di dalam animasi kartun, pelajar bukan saja mempelajari perkataan baru, malah juga memahami penggunaan bahasa kiasan dan slanga.

- Di samping itu, peluang menonton rancangan televisyen berbahasa Inggeris juga boleh digunakan sebagai mekanisme untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Apabila pelajar mendengar sesuatu ayat menarik yang dipertuturkan di dalam rancangan itu dan boleh digunakan di dalam komunikasi harian, segeralah mencatat ayat itu dan cuba untuk menggunakannya; dan

- Begitu juga dengan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dari segi sokongan, menyediakan kemudahan serta motivasi kepada anak mereka terutama yang masih berada di alam persekolahan.

Biarpun kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012, tidak bermakna bahasa Inggeris adalah bahasa yang tidak penting.

Masyarakat perlu perlu bersikap terbuka dalam soal mempelajari bahasa.

Keupayaan menguasai bahasa Inggeris seperti saranan Dr Mahathir perlu dilihat sebagai kelebihan bagi seseorang individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.