Isnin, Ogos 10, 2009

7,597 graduan UPM terima ijazah


Seramai 7,597 graduan termasuk 33 graduan sulung program Ijazah Sarjana Muda Sains Dietetik dan dua graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kayu menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-33 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Daripada jumlah itu, 5,984 pelajar menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dan 417 daripada jumlah itu berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Kelas Pertama, 3,968 graduan (kelas kedua), 1,396 graduan (kelas kedua bawah) dan kelas ketiga membabitkan 34 graduan.

Majlis konvokesyen itu berlangsung selama empat hari bermula 8 Ogos hingga 11 Ogos di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Bagi penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan, Nik Mohd Saiful Wan Mohd Sidik, beliau hanya ditemani kakak dan dua adiknya untuk meraikan kejayaannya berikutan kehilangan ayah dalam kemalangan pada 1998, manakala ibunya meninggal dunia sembilan tahun kemudian kerana penyakit buah pinggang.

Kini, Nik Mohd Saiful, 22 bersama kakak sulungnya, Nik Shazwani, 23, bukan saja mengambil alih peranan sebagai ibu bapa, malah terpaksa mengatur hidup dengan wang RM600 sumbangan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Sosial (Perkeso) bagi menyara kehidupan mereka.

"Selepas emak meninggal, saya pernah rasa putus asa untuk meneruskan pengajian kerana sebelum ini, emak banyak memberi dorongan. Tapi mujurlah saya berfikir panjang terutama apabila mengenangkan nasib adik lain.

"Lagi pun kami anak yatim piatu, jika tidak cemerlang dalam pelajaran, bagaimana kami mahu memperbaiki hidup." katanya, di UPM di sini, semalam.

Sementara itu, kesempitan hidup dan sokongan berterusan ahli keluarga menguatkan semangat Nor Afzan Ramli, 22, untuk mengetepikan keseronokan hidup remaja dan menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan cemerlang.

"Kadangkala apabila melihat rakan berbelanja, timbul perasaan ingin membeli-belah dengan duit yang ada. Tapi saya sentiasa ingatkan diri untuk berjimat cermat kerana banyak keperluan lain yang perlu didahulukan. Saya memang tidak berkesempatan bermewah-mewah kerana khuatir terpaksa meminta duit daripada ayah di kampung.

"Saya juga ambil kesempatan membantu emak mengambil upah menoreh getah setiap kali cuti semester. Walaupun pendapatan tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat membantu saya membeli buku sebaik semester baru dibuka," kata anak pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di Pahang ini.

Afzan yang juga anak ketiga dari tujuh beradik itu berhasrat membina sebuah rumah untuk kedua ibu bapanya, Ramli Omar, 56 dan Zaleha Mat Tais, 53 kerana sejak 20 tahun lalu menumpang di rumah milik saudara mereka.

Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Nurul Atikah Salim, 22, yang cacat di bahagian kaki pula tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk berputus asa dan tidak menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Beliau yang menggunakan alat sokongan kaki dan terpaksa berdepan pelbagai kesukaran sepanjang pengajian bersyukur kerana sentiasa mendapat bantuan rakan terutama untuk bergerak dari asrama ke kampus.

Nurul Atikah yang bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di bidang Pentadbiran Perniagaan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.