Selasa, Julai 21, 2009

Yasmin Hani tak ralat putus cinta

Pelakon dan pengacara bernama Yasmin Hani Richardson ini sememangnya bukanlah seorang yang suka mencanangkan tentang kehidupan peribadinya.

Baginya, ia adalah sesuatu yang cukup peribadi untuk dikongsi bersama terutama kisah percintaannya.

Bukan mahu berlagak atau membuktikan dirinya adalah yang terbaik, tetapi dia tidak mahu jika berlebih-lebihan menjaja cerita tentang kisah cinta, takut pengakhirannya kelak tidak menjadi.

Lantas, dia juga nanti yang menanggung malu dan dikecam oleh masyarakat kerana terlalu banyak berkongsi rahsia tentang kisah cintanya.

Apabila hubungan cintanya selama dua tahun dengan jejaka bernama Don Nazar menemui noktahnya, dia tidak berasa ralat, kesal mahupun kecewa apabila percintaan itu tidak dapat diakhiri di jinjang pelamin.

Sebaliknya, dia sedar dan reda dengan ketentuan Ilahi yang telah menentukan perjalanan hidupnya biarpun dia sudah merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya tahun ini.

Bertemu dengannya baru-baru ini, dia tetap seperti biasa. Lincah dan petah berbicara yang sudah menjadi identitinya sejak muncul sebagai pengacara sedekad yang lalu. Sedikit pun tidak ada riak duka di wajahnya.

"Saya menganggap apa yang berlaku semua sudah ditakdirkan. Bohong kalau saya kata saya tidak berasa sedih tetapi hanya di awal putus cinta sahajalah. Buat apa mahu ikutkan perasaan sangat.

"Kemudian, saya teruskan kehidupan saya seperti biasa. Bukannya saya tidak pernah putus cinta sebelum ini. Saya pun dah berusia 30 tahun dan sudah matang untuk menilai mana yang buruk dan baik demi kebaikan diri saya," katanya yang memberitahu hubungan itu terputus hampir tiga bulan yang lalu.

Yasmin Hani atau lebih mesra disapa sebagai Hani menjelaskan, meskipun hubungannya dengan Don sudah berakhir, tetapi mereka masih lagi berkawan seperti biasa.

Apabila diminta penjelasan tentang punca hubungan itu berakhir, dengan sekuntum senyum, dia hanya memberitahu sudah tiada jodoh antara dirinya dengan bekas kekasihnya itu.

"Ada perkara yang telah berlaku dan menjadi punca perpisahan kami tetapi masing-masing sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Sehingga kini pun kami masih nasihat-menasihati antara satu sama lain kerana sudah lama kenal.

"Tentang soal perkahwinan pula, jujurnya saya memang ada memikirkan ke arah itu tetapi sekarang, saya hanya berserah sahaja. Kalau Dia mahu cepatkan jodoh saya, kahwinlah saya nanti," ujarnya yang mendambakan lelaki yang jujur, berdikari, pandai menghormati dirinya dan keluarga serta matang.

Tambahnya, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan teman-teman rapatnya seperti Sazzy Falak dan Aishah Sinclair yang banyak menceriakan hari-harinya.

Malah, pada hari lahirnya yang ke-30 pada 11 Jun lalu, dia dan rakan-rakannya telah menganjurkan majlis yang bertemakan Hani Gives Back.

"Kami sama-sama membuat satu kutipan amal di mana selain daripada mereka membawa hadiah untuk saya, mereka juga membawa buku-buku untuk didermakan kepada rumah kebajikan Nur Salam," tuturnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hani yang juga adik kepada bekas pelakon filem Penyair Malam, Yasmin Suraya ini dengan penuh jujur meluahkan rasa rindunya terhadap dunia pengacaraan.

Bukan dirinya sahaja, malah peminat dan penonton yang mengikuti perkembangan seninya selama ini juga mendambakan perkara yang sama.

Dia sedar impaknya sebagai pengacara rancangan Muzik@Ria selama 10 tahun begitu besar sehinggakan ramai yang mahu rancangan itu dikembalikan.

Begitu juga dengan rancangan Ria Sentral yang dikendalikannya bersama Sazzy.

"Bidang pengacaraan dan lakonan memang menjadi minat saya tetapi sebenarnya jiwa saya lebih kepada pengacaraan. Kerana dunia itu jugalah telah menaikkan nama saya sehingga dikenali ramai," ujar artis yang sudah dua tahun bernaung di bawah syarikat Aquila Emas ini.

Hani juga menjelaskan dia mendapat tawaran untuk mengacarakan rancangan Anak Wayang dan Pilih Kasih namun terpaksa melepaskannya kerana jadualnya yang padat.

Namun, dia diberi peluang menjadi hos untuk rancangan Geng Raya yang berkonsepkan seperti The Amazing Race dan akan menemui penonton pada bulan Syawal nanti di TV3.

Dalam pada itu juga, dua buah filem lakonannya iaitu Gentayangan dan Dua Hati Satu Jiwa sudah pun siap dan menanti untuk ditayangkan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts