Selasa, Julai 21, 2009

Harry Potter dan tragedi yang menanti


Novel Harry Potter and The Sorcerer's Stone karya J.K. Rowlings ini pertama kali menemui pembacanya pada tahun 1997. Kisah budak yang mempunyai kuasa magik luar biasa dan kehidupan di sekolah magik Hogwarts menjadi fenomena luar biasa dan umpama tsunami melanda pembaca di seluruh dunia. Novel kanak-kanak remaja ini bukan sahaja telah membuktikan impak luar biasa kepada pembaca tetapi juga telah mengubah sejarah dan bentuk penerbitan buku kanak-kanak.

Dua tahun kemudian, pada 1999 kisah kanak-kanak hebat ini menemui orang ramai di layar perak apabila novel tersebut diadaptasi oleh Steve Kloves dan diarahkan oleh Chris Columbus, pengarah yang sebelum itu telah menghasilkan filem kanak-kanak yang cukup popular Home Alone. Kekuatan yang cukup hebat antara novel dan filem bergabung untuk memberikan tsunami luar biasa kepada khalayak di seluruh dunia.

Selepas itu J.K. Rowlings terus menerbitkan siri Harry Potter sehinggalah ke siri yang terakhir iaitu yang ketujuh Harry Potter and the Deadly Hallows terbit tahun lepas. Sebanyak lima buah filem Harry Potter dihasilkan dan hingga filem kelima, Harry Potter and the Order of the Phoenix, siri filem ini telah membawa pulangan lebih daripada RM15 billion.

Filem Harry Potter and The Half-Blood Prince (terbit 2005) adalah filem siri Harry Potter yang keenam. Ini bermakna hanya tinggal satu siri sahaja daripada siri novel Harry Potter yang belum diadaptasi ke filem. Filem Harry Potter and the Half-Blood Prince kembali menggunakan penulis lakonlayar Steve Kloves yang sebelum ini menulis lakonlayar Harry Potter yang pertama hingga keempat dan mengembalikan pengarah David Yates yang mengarahkan filem Harry Potter and the Order of the Phoenix.

Harry Potter kepada peminat setianya adalah seorang adiwira (superhero) yang baru, tetapi adiwira yang muncul dengan kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Tetapi skil dan kuasa magik yang diperolehinya tidak sama seperti kekuatan dan kuasa yang diperolehi oleh adiwira moden dari Amerika seperti Spider-Man, Superman atau Batman.

Adiwira Amerika ini memperolehi kuasa magiknya kesan daripada kesilapan teknologi atau kesan daripada kuasa nuklear dan hasil daripada pergeseran perang dingin ideologi politik. Harry Potter memberikan kita semua impian tentang diri kita, keyakinan diri dan impian untuk mendapatkan sesuatu yang lebih daripada apa kita ada, sesuatu yang lebih besar, kemampuan menghadapi cabaran dalam menuju hala tuju kehidupan.

Jadi magik dalam Harry Potter adalah magik atau kuasa yang menjadi impian semua orang dan apabila difilemkan magiknya adalah magik yang kita cari selama ini di filem, iaitu magik untuk pelarian, magik daripada segala tekanan sekeliling, keluarga dan kewangan. Personikasi yang diberikan oleh Harry Potter inilah yang menjadikannya dekat bukan sahaja kepada remaja tetapi juga orang dewasa.

Sembilan tahun

Sepertimana pembaca dapat mengidentifikasikan diri mereka dengan setiap watak utamanya yang bergerak secara biologikal dalam setiap siri novel Harry Potter kerana setiap siri novelnya merupakan sambungan daripada siri terdahulu, maka demikian juga dengan siri filemnya. Sejak siri filem Harry Potter yang pertama, filem Harry Potter terus mengekalkan pelakon kanak-kanak yang memainkan watak-watak utamanya. Danial Radcliffe mula memainkan watak Harry Potter dalam usia 11 tahun, Rupert Grint memainkan watak Ron dalam usia 12 tahun dan Emma Watson memainkan watak Hermione dalam usia 10 tahun.

Kini pembikinan filem siri Harry Potter ini sudah memasuki usia sembilan tahun, sejak filem Harry Potter and The Sorceror's Stone diterbitkan pada tahun 2000. Selama sembilan tahun penonton filem ini bukan sahaja dapat mengidentifikasi dengan watak-watak ini tetapi juga melihat perkembangan biologi watak-watak ini dari zaman kanak-kanak hingga menjejak remaja.

Dalam siri, Half - Blood Prince, Harry Potter dan rakan-rakannya berdepan dengan cabaran yang lebih besar selari dengan perkembangan usia dan kemelut dendam dan perseteruan di kalangan pihak pengurusan sekolah magik Hogwarts semakin menemui klimaksnya. Pengetua Hogwarts Dumbledore (Michael Gambut) menghadapi cabaran yang lebih besar apabila dia perlu berhadapan dengan musuhnya . Kali ini rahsia silam Voldermort juga disingkap dan hubungan zaman muda antara Dumbledore dan Voldermort.

Harry terus berdepan ancaman daripada Voldermort dan Death Eaters yang diketuai oleh Bellatrix (Helena Bonham Carter). Dumbledore juga berhadapan dengan tragedi dalam hidupnya dalam usahanya mendapatkan Horcrux sejenis kuasa magik yang mampu menghidupkan roh yang telah terpisah dari jasadnya yang sekaligus memperjelaskan bagaimana Voldermort terus hidup.

Filem ini juga menyaksikan Horace Slughorn (Jim Broadbent) pakar dalam soal racun kembali ke Hogwarts. Dendam, permusuahan dan perebutan kuasa menjadikan filem Harry Potter and the Half-Blood Prince ini penuh adegan yang secara visualnya mendebarkan, dramatik dan sekaligus spektakular. Tetapi, Harry Potter and The Half Blood Prince kali ini tidak sahaja memberi tumpuan kepada apa yang berlaku antara Harry, Dumbledore dan Voldermort tetapi juga perkembangan yang berlaku antara Harry, Ron dan Hermoine secara biologi.

Kita melihat hubungan romantis sesuai dengan perkembangan usia antara Harry dengan Ginny, adik Ron dan juga hubungan antara Ron dan Hermoine. Semua perkembangan ini bukan sahaja menjadikan plot Harry Potter and The Half - Blood Prince cukup dramatik dan penuh emosi tetapi sentiasa mempunyai adegan dan momen yang mengejutkan, cemas dan penuh spektakular. Kesemua elemen ini juga menjadikan filem Harry Potter yang akan datang iaitu siri The Deathly Hallows lebih dinantikan sebagai satu penamat kepada sebuah kisah yang penuh magis, dramatik, spektakular dan mengharukan.

- UTUSAN

1 ulasan:

  1. harry potter n the half blood prince tak best!
    menghampakan... =(
    ending tak syok...

    tp perjalanan citer,
    MANTAP!!

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts