Ahad, Julai 05, 2009

Temubual dengan Menteri Kewangan II - Ekuiti bumiputera tak hilang

MINGGUAN: Bagaimanakah reaksi selepas pengumuman penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC)?

NOR MOHAMED: Kebanyakan reaksi yang diterima adalah positif. Tetapi ada juga yang tidak begitu faham tentang pemansuhan FIC. Secara asasnya, FIC yang diwujudkan sejak 36 tahun lalu mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO). Pemansuhan itu membabitkan garis panduan berkaitan pembelian kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan.

Bagaimanapun, pemansuhan garis panduan itu tidak akan diganti dengan mana-mana garis panduan baru dan FIC tidak lagi memproses transaksi saham atau mengenakan sebarang syarat bagi transaksi tersebut.

Ketika ini mana-mana syarikat yang mahu disenaraikan perlu memenuhi syarat pegangan saham awam sebanyak 25 peratus, mengikut Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia dan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera di bawah garis panduan FIC. Di bawah garis panduan baru itu, syarikat yang mahu membuat penyenaraian perlu menawarkan setengah daripada 25 peratus tebaran pegangan saham awal kepada pelabur bumiputera. Ini bermakna syarat ekuiti pelabur bumiputera telah dimasukkan bersama di dalam tebaran awam. Sungguhpun kita tidak nyatakan 30 peratus tentang IPO, tapi dalam syarat Suruhanjaya Sekuriti (SC) kadar 25 peratus perlu dikekalkan dan diberikan kepada umum termasuklah pelabur kecil.

Bagi menghadapi cabaran baru, garis panduan FIC yang diguna pakai pada 1974 kini dilihat tidak lagi relevan. Ia mewakili komponen utama strategi pertumbuhan dengan kesaksamaan. Hari ini, ia bukan lagi instrumen yang efektif untuk menyokong pertumbuhan dengan kesaksamaan itu. Sebagai contoh tahun 1970, ekuiti bumiputera hanya berjumlah 2.4 peratus. Ketika itu polisi sebegini merupakan sesuatu yang masih praktikal untuk menyediakan persaingan bagi pelaburan. Namun kini keadaan sangat jauh berbeza. Polisi pelaburan yang mewujudkan ketidakpastian kawalan dan tidak seiring dengan amalan antarabangsa, hanya akan menghalang potensi pertumbuhan negara.

Kerajaan sedar bahawa dengan pencapaian dan peningkatan kemampuan bumiputera hari ini, perlumbaan ke arah keseimbangan ekuiti memerlukan tumpuan terhadap kecekapan dan penyertaan ekonomi yang sebenar, dan tidak tertumpu kepada sekadar pemilikan sahaja. Kebanyakan dapat menerima penjelasan ini namun kita tetap akan meneruskan sesi penerangan dan pemahaman melalui beberapa siri seminar bagi memberi penjelasan yang meyakinkan. Mungkin wujud atau timbul tanggapan lain bahawa ini adalah satu relaxation kepada modul falsafah kita iaitu pertumbuhan dengan pengagihan khasnya dari agenda bumiputera. Sebenarnya ia akan tetap menjadi satu keutamaan. Kerajaan mempunyai skop yang lebih luas untuk membantu bumiputera jika mempunyai pertumbuhan yang tinggi.

Sebab itulah Ekuinas ditubuhkan beserta langkah-langkah lain yang difikirkan terbaik oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan keupayaan bumiputera di negara ini. Malah kerajaan juga turut memberi fokus kepada instrumen- instrumen DEB yang telah berjaya dan yakin kita akan mendapat faedah yang lebih dari polisi liberalisasi.

Dengan pemansuhan syarat 30 peratus pada peringkat setiap syarikat, bagaimanakah kerajaan berhasrat mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera secara keseluruhannya?

NOR MOHAMED: Pendekatan baru kepada pengagihan dijangka lebih efektif dalam menuju ke arah mencapai sasaran 30 peratus. Antara mekanisme yang akan menyumbang kepada pencapaian itu adalah peranan pengawal selia sektor dalam mengenakan syarat ekuiti ke atas sektor yang strategik. Selain itu pelaksanaan dasar oleh agensi kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dengan memastikan supaya syarikat dengan penguasaan bumiputera akan dapat sebahagian daripada perolehan kerajaan, lesen serta konsesi kerajaan.

Bagi menyokong kepada penyertaan ini, penguasaan bumiputera melalui institusi kewangan pembangunan (seperti SME Bank) serta dana pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Ekuinas akan diberi perhatian.

Kerajaan melihat pengukuhan instrumen penyusunan semula sedia ada, seperti program pembangunan usahawan dan pemberian biasiswa, dengan fokus pendekatan baru supaya menumpukan pembangunan bumiputera kepada sektor-sektor terpilih yang strategik dengan peluang pertumbuhan tinggi.

Di kalangan orang Melayu ia dilihat sebagai tindakan untuk mengurangkan penguasaan mereka dan di pihak bukan Melayu pula mereka berpendapat ia tidak mencukupi dan perlu lebih lagi. Apa komen Tan Sri ?

NOR MOHAMED: Ini tidak benar sama sekali. Orang bukan Melayu akan melihat perlukah lagi falsafah pembangunan pertumbuhan dengan ekuiti, pengagihan dan agenda bumiputera. Sama ada sudah sampai masanya untuk kita memberi fokus hanya kepada pertumbuhan. Ini bukan masanya untuk berpolitik tetapi memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan saya fikir pada masa kini dan tahun-tahun mendatang polisi tentang pertumbuhan dan pengagihan itu masih perlu dan begitu penting sekali dari segi socio-political stability kerana tanpanya walaupun kita mewujudkan pelbagai polisi, pelabur tidak akan datang. Pelabur datang atas beberapa perkara, pertamanya kerana socio-political stability. Keduanya kerana tidak banyak kerenah birokrasi dan ketiganya kerana terdapat jaminan tentang tenaga buruh. Terdapat pekerja mahir dalam bidang yang mereka labur dan jika tidak terdapat pekerja yang bersesuaian, kerajaan membenarkan pelabur mengambil pekerja asing yang bersesuaian.

Oleh itu kestabilan politik sosial yang paling penting sekali. Sungguhpun kita telah mencapai begitu banyak kejayaan dalam DEB namun ia masih belum sempurna. Masih lagi terdapat kemiskinan dan penguasaan bumiputera masih sekitar 19.4 peratus dan sebagainya. Untuk berjaya, kita perlu mengubah ekonomi kepada pertumbuhan lebih tinggi. Daripada satu sudut lain, kita berdepan dengan cabaran- cabaran besar untuk merealisasikan impian itu dan mengubah cabaran faktor luaran dan kekangan domestik menjadi pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Tanpa pertumbuhan ekonomi yang kuat, kita tidak mampu mencapai objektif dalam pengagihan yang seimbang. Oleh itu perjuangan masih belum tamat dan ia harus terus diperjuangkan.

Bilakah akan ditamatkan pengagihan antara kaum ini?

NOR MoHAMED: Saya rasa bukan sekarang. Satu ketika dahulu ia lebih kepada satu keputusan politik. Tetapi dari segi angka ternyata kita tidak boleh melakukannya sekarang. Kita juga telah menjelaskan kepada bukan Melayu tetapi mungkin kita belum menjelaskan kepada mereka bahawa mereka tidak akan hilang apa-apa. Sebagai contoh, pada tahun 1970 terdapat 387 akauntan Cina, India 47 dan Melayu 40 orang dan kini jumlah ini meningkat sebanyak 17,836 bagi orang Cina, 1,247 bagi orang India dan 6,265 bagi orang Melayu. Maka dengan itu semua kaum ini telah mendapat faedah yang begitu banyak dalam aspek pembangunan negara melalui DEB. Terbukti polisi ini telah berjaya diamalkan kepada semua orang rakyat Malaysia. Tiada lagi kemiskinan kepada orang Cina.

Namun kita masih perlu mengubah beberapa perkara bersesuaian dengan perubahan zaman dan dari segi falsafahnya tidak nampak sebarang keperluan untuk mengubahnya.

Bagaimanakah perancangan untuk menyeimbangkan pengagihan ini dengan pendidikan?

NOR MOHAMED: Kalau ada satu faktor yang telah berjaya dihasilkan jika dibuat perbandingan dari tahun 1970-an dan sekarang dalam usaha menghapuskan kemiskinan ialah melalui pendidikan. Kita telah berjaya menghasilkan para profesional kita yang juga terdiri dari anak-anak kita.

Mereka inilah yang telah dihantar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik di luar dan dalam negara. Mereka inilah pada tahun 60-an dan 70-an yang telah mengangkat kedudukan dan martabat diri dan keluarga mereka dengan keluar dari kancah kemiskinan melalui pelajaran. Aspek pendidikan merupakan perkara yang sangat penting dan tidak ada negara di dunia yang pada tiap-tiap tahun memberikan peruntukan antara 20 hingga 25 peratus untuk faedah pendidikan. Dan berasaskan dari pendidikan inilah kita telah berjaya melahirkan para profesional dan cerdik pandai dalam pelbagai bidang. Mereka inilah yang telah membantu kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan.

Kejayaan ini berjaya dilaksanakan tanpa mengira kaum. Semua dilakukan melalui ilmu dan kita berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Maka adalah penting kepada kerajaan untuk meneruskan kecemerlangan pendidikan. Pendidikan merupakan sesuatu yang sangat penting dan melaluinya juga kita berjaya mengubah negara daripada sebuah negara miskin kepada sebuah negara membangun yang berdaya saing. Pendidikan jugalah yang akan mentransformasikan negara dari sebuah negara high middle income kepada sebuah negara maju.

Dari segi memberi kefahaman, adakah Tan Sri bersetuju ia perlu penjelasan lebih mendalam?

NOR MOHAMED: Kita akan memberikan penerangan bahawa sebelum ini sungguhpun dari segi teori kita bagi 30 peratus kepada semua syarikat yang buat IPO tapi dari segi praktikal kita tidak boleh melakukannya. Ia kerana kita tidak dapat cari bumiputera yang mampu memiliki 30 peratus, selepas satu jangka masa kita terpaksa memberi waiver. Ramai juga yang mendapat waiver ini atas alasan tiada bumiputera yang mampu memilikinya. Lepas itu kita bagi lanjutan masa masih tidak dapat.

Oleh itu dari segi teori ia nampak praktikal namun mereka masih gagal memenuhinya. Kerajaan telah mengagihkan sejumlah RM54 bilion ekuiti kepada bumiputera. Bagaimanapun hanya RM2 bilion kekal. Selebihnya dijual untuk mengejar keuntungan. Mereka ini pegang ekuiti hanya untuk tempoh yang pendek dan menjualnya dengan keuntungan yang sedikit. Orang lain yang membelinya memegang pada tempoh yang lama tapi dapat untung banyak. Kalau mereka simpan kita telah mencapai pegangan sebanyak 30 peratus tapi kita jual dan akhirnya penguasaan 30 peratus tidak berjaya. Namun kita tidak rugi sebab kita masih lagi pegang kepada bukan hanya 30 peratus tetapi lebih banyak lagi dalam sektor-sektor strategik yang dilaksanakan oleh pengawal sektor.

Kuota bumiputera itu pada sektor strategik di tahap mikro tidak kita hapuskan. Hanya di peringkat makro sahaja. Masih lagi menjadi matlamat kita untuk mencapai satu proportion yang tinggi dan kalau boleh dalam sektor-sektor tertentu lebih dari 30 peratus. Bukan sahaja melalui FIC melalui ekuiti tetapi juga melalui lesen. Kalau kita lihat orang-orang kaya di Malaysia dari 10 terkaya ada seorang dua yang menduduki tempat teratas. Mereka menjadi kaya dengan cara bagaimana? Mereka mendapat kontrak dan sebagainya serta dianugerahkan lesen oleh kerajaan. Jadi kita mendapat pengajaran bahawa kita harus menggunakan lesen-lesen sebegini untuk memupuk dan melatih mereka menjadi usahawan besar dan berjaya.

Mungkin ada yang mendapat lesen dan sebagainya, namun kita harus lebih menumpukan kepada usaha pemberian lesen untuk menjayakan para usahawan bumiputera. Tumpuan kepada menjayakan usahawan dan ekuiti bumiputera tidak akan hilang malah akan diperhebatkan. Hanya instrumen yang tidak berguna dan ketinggalan zaman yang akan dihentikan tapi kita akan memberi tumpuan kepada aspek-aspek di mana kita akan menjayakan agenda memajukan bumiputera dengan lebih berkesan.

Bagaimanakah dengan usaha untuk merapatkan jurang di kalangan bumiputera antara golongan kaya dan miskin?

NOR MOHAMED: Bagi saya kita perlu kembali kepada zaman dahulu di mana pendidikan merupakan kunci untuk kejayaan pada masa depan. Selain itu kita harus lebih memberi peluang kepada para usahawan bumiputera yang rajin tetapi tidak mendapat peluang. Oleh itu melalui peluang yang dijana oleh Ekuiti Nasional ini kita cuba untuk mengurangkan jurang kemiskinan. Kita memang memerlukan golongan bumiputera yang kaya ini yang boleh membuat perniagaan di seluruh dunia. Oleh itu dalam Rancangan Malaysia Ke- 10 (RMK-10), kita akan merangka satu polisi yang holistik berasaskan model ekonomi baru di mana para usahawan baru yang mampu bersaing dapat dilahirkan.

Sungguhpun beberapa pelan telah dirangka satu masa dahulu bagi membantu melahirkan golongan Bumiputera yang berjaya dan kita mempunyai banyak instrumen namun mungkin penumpuan secara holistik telah gagal dilaksanakan. Tetapi mulai sekarang dengan hilangnya FIC, kita telah mewujudkan satu divisyen di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk mengkoordinasikan isu-isu mengenai Bumiputera secara holistik dan strategik. Ini untuk memastikan wujud satu peluang yang efektif di bawah RMK 10 untuk mengurangkan jurang kemiskinan dan menyambung aspek-aspek bumiputera ini.

Secara keseluruhannya apa yang Tan Sri dapat lihat terutamanya orang Melayu di dalam menghadapi perubahan ini?

NOR MOHAMED: Saya berpendapat dalam cabaran yang kita hadapi ini terutama dalam persekitaran global kini, kalau kita dapat menghadapi cabaran ini dengan bijaksana kita akan dapati banyak peluang untuk memajukan diri kita serta memperoleh fair share dalam ekonomi. Kerajaan sememangnya berpegang kepada konsep pertumbuhan dan pengagihan dan akan terus memikirkan secara menyeluruh untuk mewujudkan instrumen-instrumen dan menambah baik instrumen yang ada. Ini penting untuk memastikan golongan bumiputera tidak dipinggirkan dan diberi sebanyak mungkin bantuan untuk memastikan mereka mampu memajukan diri dan mencapai objektif yang telah dinyatakan dalam DEB sebelum ini. Ini kerana "roh" DEB dan agenda Bumiputera itu masih ada. Namun kini kita perlu melakukan agenda ini melalui instrumen-instrumen yang dianggap mesra pasaran. Ini kerana kerajaan sedar bahawa dengan meliberalisasi beberapa sektor ini tidak akan mengakibatkan zero sum game. Ini kerana dengan meliberalisasikan bidang-bidang tertentu, kadar pertumbuhan akan menjadi lebih tinggi dan dengan peningkatan kadar pertumbuhan, kerajaan akan mempunyai sumber yang lebih untuk pengagihan (untuk membantu bumiputera).

Maka dengan instrumen-instrumen yang baru kita akan beri fokus kepada konsep pembangunan usahawan dan meletakkan profesional dan usahawan kita di tahap yang lebih baik. Kita juga akan menggalakkan usahawan kita yang telah berjaya di luar negara seperti di Amerika Syarikat (AS) untuk membantu kita. Jika kita melawat ke luar negara kita seperti di New York, London dan sebagainya akan jumpa usahawan dari negara ini yang berjaya.

Mereka ini bukan sahaja telah membuktikan mereka berjaya tetapi makmur. Adalah penting untuk menarik mereka datang ke sini dengan kaedah dan bantuan dari instrumen kerajaan seperti Ekuiti Nasional.

Adalah penting untuk kita terus melahirkan usahawan-usahawan dan kita buat secara mesra pasaran. Dengan usaha sebegini tidak akan ada orang yang membantah. Kalau hendak membantah pun atas dasar apa. Kita hanya membantu Bumiputera. Tetapi kita tidak letakkan syarat-syarat kepada orang lain, tidak ada halangan untuk orang lain melabur tapi kita ambil tindakan proaktif tetapi pada masa yang sama mesra pasaran untuk membantu bumiputera. Ini pastinya melahirkan suasana menang-menang.

Malaysia akan maju dengan kadar pertumbuhan yang tinggi sebab banyak pelaburan kerana kita tidak menyekat peluang orang lain. Tetapi pada masa yang sama kita menggunakan kemakmuran ini untuk membantu bumiputera.

Apakah pesanan Tan Sri kepada masyarakat bumiputera?

NOR MOHAMED: Kerajaan terus komited kepada usaha memperkasakan agenda pembangunan bumiputera. Dalam pada itu, kerajaan akan terus menambah baik dan menggandakan usaha ke arah mencapai sasaran utama DEB, termasuk 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera di peringkat makro. Perubahan persekitaran dan keadaan memerlukan kita merobah strategi untuk mencapai objektif murni kita dengan jayanya. Dalam melunaskan hasrat ini, kerajaan terus berpegang kepada semangat dan teras pertumbuhan dengan pengagihan, apa yang berlainan adalah penambahbaikan kaedah atau instrumen ke arah pencapaian yang lebih berkesan.

Penstrukturan semula garis panduan FIC tidak merugikan masyarakat bumiputera. Sebaliknya, kerajaan yakin ia adalah langkah positif yang akan memanfaatkan masyarakat bumiputera. Garis panduan FIC bukan sahaja dilihat sebagai rintangan kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah ia juga tidak lagi efektif sebagai instrumen penyusunan semula bagi membangunkan masyarakat bumiputera secara mapan. Penstrukturan semula FIC akan memangkin pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang lebih rancak, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi manfaat segenap lapisan rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat bumiputera.

Masyarakat bumiputera perlu menyambut langkah kerajaan ini dengan penuh keyakinan dan aspirasi yang tinggi. Bila masa FIC mula diperkenalkan dahulu, ekuiti bumiputera hanyalah 2.4 peratus dan keupayaan bumiputera pada masa itu adalah terhad. Oleh itu, instrumen pengagihan seperti FIC adalah relevan untuk melaksanakan penyusunan semula masyarakat secara langsung dengan cepat dan berkesan. Namun, keadaan pada masa ini telah banyak berubah. Hari ini, terdapat beratus ribu profesional bumiputera yang berkerja di serata pelosok dunia.

Kita telah melahirkan banyak usahawan bumiputera yang berjaya. Banyak kemajuan telah ditempa dalam pelbagai aspek lain jua. Oleh itu, pada masa ini kita tidak boleh berpuas hati dengan hanya pegangan minoriti 30 peratus di dalam sesebuah syarikat, sekadar menjadi rakan tidur atau sleeping partner. Kita mesti bercita-cita untuk melahirkan gagasan syarikat-syarikat bumiputera yang mampu berdaya saing sehingga ke peringkat global, yang diterajui dan dikuasai oleh anak-anak bumiputera kita. Pendekatan baru yang telah dirangka dan diumumkan oleh Perdana Menteri ini merupakan langkah kerajaan untuk menyokong hasrat murni ini, demi kemakmuran dan kemajuan masyarakat bumiputera yang kita idamkan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.