Selasa, Julai 14, 2009

Sultan Kedah rasmi kompleks pentadbiran baru kerajaan Persekutuan


Satu lagi sejarah dicatatkan di negeri ini apabila Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu'adzam Shah dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Perasmian yang berlangsung di bandar Mua'dzam Shah, Anak Bukit dekat sini menyaksikan kompleks di atas tanah seluas 16.1 hektar dan menelan kos RM270 juta itu kini menjadi tempat operasi 40 jabatan, dan agensi Persekutuan dan negeri di dua fasa bangunan.

Fasa satu menempatkan Bangunan Wisma Persekutuan, Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mahkamah Syariah dan Pejabat Mufti.

Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Dewan Serbaguna, Kompleks Kesejahteraan Keluarga dan Balai Polis Anak Bukit pula terletak di fasa dua.

Kompleks tersebut terletak hanya lapan kilometer dari bandar raya Alor Setar dan enam kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kepala Batas dekat sini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Berucap pada majlis itu, Najib berkata, ia merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya dan diletakkan di bawah Bahagian Kawal Selia.

Perdana Menteri berkata, kompleks seumpama itu adalah yang kedua selepas Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah yang dibina pada 2007.

Menurut beliau, kompleks tersebut dibina dengan kemudahan dan infrastruktur mengikut kesesuaian fungsi dan aktiviti jabatan serta agensi yang ditempatkan di situ.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.