Rabu, Julai 01, 2009

Sebuah lagi pesawat Airbus terhempas di Lautan Hindi

Sebuah kapal terbang Airbus A310 Yemeni Air terhempas di Kepulauan Comoros, Lautan Hindi hari ini dan dikhuatiri kesemua 153 penumpang dan krew dalam pesawat Airbus terbunuh.

Pihak berkuasa penerbangan awam Yemen menyatakan bahawa tiga mayat telah berjaya dikesan di lokasi nahas udara pesawat Yemenia Air di perairan Kepulauan Comoros, Lautan Hindi.

"Mayat dilihat terapung di permukaan air dan tumpahan minyak juga dikesan kira-kira 16 atau 17 batu nautika dari Moroni," kata pegawai kanan penerbangan awam, Mohammad Abdel Kader kepada pemberita.

Bangkai dan serpihan pesawat itu berjaya dikesan dekat bandar utama kepulauan tersebut, Moroni, kata pegawai penerbangan. Satu operasi menyelamat telah dilancarkan dan baru seorang mangsa yang ditemui terselamat, seorang kanak-kanak.

Penerbangan itu membawa 142 penumpang dan 11 krew dari Paris awal semalam dan telah berhenti di Marseille, Sanaa dan Djibouti, kata seorang pegawai syarikat penerbangan tersebut.

Menteri Pengangkutan Perancis, Dominique Bussereau berkata, Yemenia Air adalah syarikat 'di bawah pemantauan' dan pesawat itu dilaporkan mengalami 'beberapa kerosakan'.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Moroni, Hadji Ali berkata, menara kawalan terputus hubungan dengan Penerbangan IY 626 sejurus sebelum ia dijadual mendarat dan mengesahkan berlaku cuaca buruk.

Pegawai penerbangan awam Perancis menyatakan, seramai 66 rakyat Perancis adalah antara penumpang pesawat itu, termasuk tiga bayi.

Perancis menghantar dua kapal tentera laut dan sebuah pesawat dari wilayah terdekat dengan Lautan Hindi untuk menghulurkan bantuan.

Ia merupakan nahas udara terbaru melibatkan Airbus, selepas insiden pesawat Air France terjunam ke dalam Lautan Atlantik kira-kira sebulan lalu dengan 228 penumpang berada di dalamnya.

- AFP

1 ulasan:

  1. hmm ... kesian betul .... kesilapan kecil boleh mengakibatkan satu kemalangan yang besar...

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.