Isnin, Julai 06, 2009

Pas rayu pengundi di luar Kelantan pulang

Pas Kelantan kini mengharapkan pengundi Manek Urai yang berada di luar negeri ini, kembali menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 14 Julai ini, demi memastikan parti itu mampu mempertahankan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata untuk tujuan itu, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 1,000 pengundi Manek Urai yang berada di ibu negara malam kelmarin, bagi meminta mereka pulang pada hari pengundian.

"Saya ke Kuala Lumpur minta anak-anak Manek Urai di sana, balik mengundi kerana jangan anggap ini kerja politik, tapi kerja agama kerana Islam ini antara unsurnya ialah politik, barulah Islam boleh berkembang seluruh dunia.

"Kena balik (mengundi), tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, sekembalinya dari Kuala Lumpur kerana menghadiri pertemuan itu, semalam.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob, dari Pas kerana komplikasi jantung pada 22 Mei lalu. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu diadakan hari ini.

Sementara itu, Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, mendakwa kehadiran pengundi luar penting bagi membolehkan parti itu menang dengan majoriti lebih besar di Manek Urai, berbanding keputusan pada pilihan raya umum lalu.

Beliau mendakwa, jika jumlah pengundi luar yang pulang agak sedikit, Pas tetap berpeluang mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas Umno, tetapi dengan majoriti kemenangan yang kecil.

"Kalau 80 peratus daripada kira-kira 2,000 pengundi Manek Urai di luar Kelantan balik mengundi, Pas jangka mampu menang dengan majoriti cukup besar, tetapi jika bilangannya sedikit, kita jangka tetap akan menang dengan majoriti kecil," katanya.

Wan Abdul Rahim berkata, dalam perjumpaan Nik Abdul Aziz dan calon Pas bagi pilihan raya kecil itu, Mohd Fauzi Abdullah, malam kelmarin, pengundi luar menyatakan kesediaan untuk pulang menunaikan tanggungjawab me-reka.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 supaya majikan memberi cuti kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka kerana tarikh pengundian ditetapkan pada hari bekerja.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.