Selasa, Julai 14, 2009

Jual rumah rakyat

Kerajaan bercadang memperluas penjualan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) ke seluruh negara tidak lama lagi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurutnya, cadangan menjual rumah awam itu akan dilaksanakan sekiranya ia berjaya dilakukan di Kuala Lumpur yang dijadual bermula November ini.

Beliau bekata, pihaknya akan melihat keberkesanaannya terlebih dahulu sebelum meluaskan ke seluruh negara untuk mengelak timbul masalah melibatkan proses penjualan rumah terbabit.

‘‘Cadangan itu masih lagi di peringkat perbincangan dan kita tidak menetapkan jangka masa khusus untuk perlaksanaannya di negeri-negeri lain.

‘‘Kita juga melihat dari segi permohonan pinjaman bank bagi membiayai pembelian rumah PPR itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pembangunan Nusajaya di pejabat UEM Land Holdings Berhad, di sini hari ini.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengumuman 11 ‘hadiah’ untuk rakyat berkata, para penyewa PPR di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan sebanyak 44,905 unit rumah sewa di bawah PPR sedia dijual kepada penghuni yang selama ini menyewa rumah terbabit bermula November ini secara berperingkat-peringkat.

Pada masa ini terdapat kira-kira 72,000 unit rumah PPR di seluruh negara termasuk yang dimiliki oleh kerajaan tempatan dan Wilayah Persekutuan pula memiliki 44,000 unit rumah itu.

Mengulas lanjut, Cho Ha berkata, rumah PPR di Wilayah Persekutuan itu akan dijual kepada penyewanya pada harga lebih rendah daripada kos sebenar.

Katanya, harga yang bakal ditawarkan nanti adalah harga yang sudah disubsidi, iaitu lebih rendah berbanding kos pembinaan setiap unit rumah itu.

‘‘Kita akan cuba mewujudkan subsidi khas kepada mereka yang layak tetapi ia masih belum dapat diputuskan lagi,” katanya.

Dalam pada itu Cho Ha berkata, sebanyak 1,500 unit rumah awam berkeluasan 83.6 meter persegi yang akan dibangunkan di Nusajaya oleh Syarikat Tujuan Khas akan disewakan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, projek itu dimajukan dengan kos RM200 juta melalui pembiayaan Kementerian Kewangan.

‘‘Saya yakin ramai yang bekerja di Nusajaya akan memohon dan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan diberikan kebenaran untuk menyewa rumah tersebut,’’ katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.