Khamis, Julai 16, 2009

DiGi lancar pelan dua dalam satu

Sememangnya tidak boleh dipercayai! Pascabayar dan prabayar dalam satu pelan?

DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) hari ini memperkenalkan pelan prabayar dan pascabayar untuk pasaran khusus bagi kemudahan pelanggan dan menjadikannya lebih relevan dengan kehidupan keluarga serta golongan belia selain menikmati tawaran terbaik serta penjimatan yang lebih.

''Berbanding pesaing lain, kami mengambil pendekatan mengikut segmen dalam pasaran berdaya saing ini berdasarkan maklum balas pelanggan yang mahukan produk dan perkhidmatan yang relevan serta berbaloi dengan nilai yang dibayar dan melaksanakan mengikut kemahuan mereka, menurut Ketua Produk dan Segmen Pemasaran, Albern Murty.

Katanya, strategi DiGi bergerak ke hadapan bertujuan memahami keperluan pelanggan dengan mendengar maklum balas daripada mereka supaya mampu membuat pelaksanaan lebih baik.

Murty berkata demikian selepas melancarkan pelan prabayar dan pascabayar baru iaitu Pelan Prabayar DiGi dan Pelan Keluarga DG, di sini hari ini.

Pelan Keluarga DG adalah inovasi pertama dalam industri telekomunikasi yang menawarkan pelanggan pascabayar menambah sehingga tiga talian tambahan prabayar dalam pakej keluarga masing-masing sehingga enam orang.

Sementara itu, Pelan Prabayar DiGi baru direka bentuk untuk pengguna yang kerap menggunakan data suara dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Murty berkata, segmen keluarga diberikan tumpuan kerana merupakan kumpulan pengguna yang terbesar di pasaran merangkumi 30 peratus penduduk di Malaysia.

"Kami adalah yang pertama dalam industri ini menawarkan tambahan nilai bersandarkan keluarga yang komprehensif dengan penjimatan lebih untuk sekeluarga.

"Malah ia juga memanfaat dan menguntungkan kami dalam menawarkan produk yang lebih menyeluruh berikutan corak perbelanjaan segmen itu yang saling bergantungan," ujarnya.

Mengulas lanjut pelan prabayar, pelanggan yang mencapai penggunaan RM1 menerusi SMS dalam sehari layak menikmati kadar 12 sen seminit untuk panggilan ke mana-mana rangkaian, di seluruh negara bagi hari yang sama.

"Bayaran ini adalah tiga kali lebih murah berbanding kadar biasa iaitu 36 sen seminit. Selain itu, mereka juga boleh menghantar SMS kepada pelanggan DiGi yang lain pada kadar satu sen satu mesej.

"Pelan capaian sasaran RM1 memudahkan pelanggan kami terutamanya, di kalangan golongan belia dan profesional muda untuk menikmati penjimatan dan ganjaran yang lebih," katanya.

Bagi suku pertama tahun ini, DiGi mempunyai seramai 7.2 juta asas pelanggan yang mana 84 peratus adalah pelanggan prabayar manakala bakinya adalah pascabayar yang masing-masing menyumbang sebanyak 75 peratus dan 25 peratus terhadap perolehan syarikat.

Beliau berkata, DiGi juga akan melancarkan pelbagai kempen lagi.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.