Selasa, Julai 14, 2009

Analisis: Manek Urai tenang, penduduk matang berpolitik

SERAMAI 12,293 pemilih yang mengundi hari ini sudah pasti tidak berasa bimbang ke sembilan saluran mengundi selepas tempoh kempen selama lapan hari berakhir 12 tengah malam tadi, diharungi dengan kematangan berpolitik oleh jentera, ahli dan penyokong parti yang bertanding.

Keadaan aman dan harmoni itu membolehkan petugas parti yang bertanding dapat berkempen dengan selesa tanpa rasa takut. Malah, calon mahu pemimpin parti yang berkempen tidak berasa bimbang untuk bergerak seorang diri berjumpa pengundi sama ada di rumah mahupun di warung dipenuhi oleh penyokong parti lawan.

Walaupun ketika berkempen ada tuan rumah menyambut 'tetamu' yang bertandang dengan hujah dan bertanya apakah yang akan diberikan kepada mereka, ia tidak membangkitkan sebarang insiden tidak diingini.

Malah, ada jentera parti Umno ketika ditemui melahirkan rasa gembira bila melihat keadaan tenang berpolitik seperti itu kerana sewaktu beliau pergi ke rumah ahli Pas pun dia disambut dengan begitu baik.

Dua malam terakhir menyaksikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang mempunyai 31,000 penduduk semakin dipenuhi oleh petugas dan penyokong parti bertanding, menyebabkan kesesakan teruk di jalan utama sepanjang 27 kilometer.

Pada malam Ahad lalu, kesesakan bermula dari Kampung Pahi menyebabkan beberapa petugas media terpaksa berjalan sejauh empat kilometer ke Kampung Peria kerana terdapat beberapa ceramah Barisan Nasional (BN) dan Pas sepanjang jalan berkenaan.

Sepanjang kempen itu juga, kepemimpinan BN memperjelaskan asas perjuangan, perancangan pembangunan, serta menjawab isu berbangkit dan ia dilihat meyakinkan pengundi dalam usaha memberi saingan sengit kepada Pas yang ingin mempertahankan kerusi berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mahu melihat perubahan berlaku di Manek Urai. Justeru, BN mohon diberikan peluang mewakili dan membawa kemajuan yang dikehendaki penduduk seperti diluahkan menerusi permohonan prasarana besar serta perubahan sosio-ekonomi seperti dibuat menerusi pertemuan yang diadakan.

Beliau turut meminta pengundi muda yang balik dari luar untuk mengundi serta yang tinggal di sini melihat kepada kepentingan masa depan Manek Urai itu sendiri.

Katanya, BN sudah menjanjikan beberapa perkara yang akan dilaksanakan sebaik diberi mandat, biarlah ia menjadi permulaan pembaharuan yang lebih besar di Kelantan.

BN sebenarnya, mengakui dan menerima hakikat mereka sedang bersaing di kubu kuat lawan, lantaran kedudukan DUN Manek Urai dikuasai Ismail Yaakub (Allahyarham) dari Pas selama lima penggal. Namun, ramai berpendapat keupayaan Ismail bertahan selama itu adalah pengaruh peribadinya, bukan kekuatan pengaruh Pas, kerana parti itu tewas di Manek Urai apabila pucuk pimpinan merehatkan Ismail daripada bertanding pada 2004.

Saingan kali ini dilihat lebih terbuka kerana calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan Mohd Fauzi Abdullah, 50, adalah muka baru dan masa sama kedua-duanya bukan pengundi dalam DUN Manek Urai. Di sebalik keyakinan tinggi Pas, BN juga menunjukkan kesungguhan untuk menang dan kemenangan pula bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pada pilihan raya umum lalu, BN hanya menang di peti undi Manjor dan undi Pos, manakala Pas pula menguasai lapan peti undi iaitu Temalir; Sungai Perial; Manek Urai Lama; Manek Urai Baru; Sungai Sok; Chuchoh Puteri; Lata Rek dan Laloh. Semuanya kini terserah kepada 12,293 pengundi, termasuk 1,500 pemilih yang tinggal di luar Manek Urai kerana mereka mempunyai kuasa untuk membuat keputusan siapakah paling layak dipilih sebagai wakil rakyat. Apa yang pasti, keputusan rasmi pilihan raya kecil ini, insya-Allah diumumkan dari pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1, kira-kira jam 8 malam ini.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts