Rabu, Jun 24, 2009

Persetujuan DAP, PKR gagal diperolehi - Dewan Ulama PAS

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, berkata Pas menolak perbincangan mengenai cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno kerana gagal mendapat persetujuan parti lain dalam Pakatan Rakyat.

“Seperti mana kita ketahui cadangan kerajaan perpaduan yang diilhamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah membabitkan semua parti,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Pas menutup polemik mengenai kerajaan perpaduan apabila Abdul Hadi yang mengadakan pertemuan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menolak cadangan itu.

Harun berkata, Dewan Ulama Pas, menghormati keputusan dibuat Abdul Hadi mengenai kerajaan perpaduan dan akan terus memberi sokongan kepada pemimpin nombor satu Pas itu.

Beliau berkata, Dewan Ulama Pas menganggap polemik mengenai kerajaan perpaduan sudah selesai dan tumpuan kini diberikan bagi berdepan dengan Umno pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Manek Urai.

Mengenai tindakan jentera pilihan raya Pas Kelantan yang tidak memasang poster Abdul Hadi menjelang pilihan raya kecil itu, beliau yakin poster pemimpin nombor satu Pas terbabit akan dipasang dalam masa terdekat.

“Persiapan bagi menghadapi Umno pada pilihan kecil DUN Manek Urai berjalan lancar, mengenai poster Abdul Hadi saya yakin tidak lama lagi ia akan dinaikkan lah,” katanya.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Nasir Daud, menerusi kenyataannya semalam berkata, poster Abdul Hadi tetap tidak dipasang di kawasan DUN Manek Urai, walaupun isu kerajaan perpaduan sudah selesai.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.