Sabtu, Jun 13, 2009

Pengawal belasah banduan, enam cedera parah di Penjara Sungai Buloh

Enam orang banduan cedera parah selepas dikatakan dibelasah oleh pengawal penjara di Penjara Sungai Buloh semalam.

Badan hak asasi manusia, Suaram mendakwa, sejumlah 20 banduan dibelasah tetapi pihak berkuasa penjara tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, individu yang menjawab panggilan telefon, memberitahu Malaysiakini bahawa pegawainya tidak akan memberi komen kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Penyelaras Suaram, Tah Moon Hui berkata, sumber-sumber memberitahu pihaknya bahawa 20 banduan digari dan dibelasah oleh 10 pengawal penjara.

Beliau juga mendakwa, 14 banduan yang turut cedera, tidak diberi rawatan perubatan.

Anggota keluarga seorang mangsa terbabit, yang tidak mahu namanya disebut berkata, pihak berkuasa penjara tidak membenarkannya berjumpa sepupunya ketika dia ke penjara Sungai Buloh pagi ini.

"Mereka memaparkan senarai 20 nama di pintu masuk. Sebaik sahaja mereka tahu yang saya berada di situ untuk berjumpa salah seorang daripadanya, maka pengawal memberitahu bahawa saya tidak dibenarkan menemuinya," katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Suaram menggesa Jabatan Penjara supaya menyediakan segera rawatan perubatan kepada banduan-banduan yang cedera.

Badan itu juga menggesa kerajaan supaya menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat kejadian itu.

Lembaga penyiasat pergaduhan di penjara

Sementara itu, Jabatan Penjara telah menubuhkan sebuah lembaga penyiasat bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden pergaduhan antara banduan dan kakitangan penjara di Penjara Sungai Buloh petang semalam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) siasatan terperinci itu dijalankan daripada segenap peringkat untuk mengetahui punca pergaduhan itu.

"KDN mengakui kejadian pergaduhan itu memang berlaku dan ia bermula dengan serangan lima banduan ke atas seorang banduan lain.

"Pergaduhan itu kemudian disertai 18 banduan lain," menurut KDN dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama

Menurut kenyataan itu, seorang inspektor penjara yang bertugas, Awang Sharin cedera di tangan ketika cuba meleraikan pergaduhan itu.

"Inspektor Penjara Awang dan kumpulan banduan yang terlibat dan tercedera telah diberikan pemeriksaan dan dirawat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga turut menyebut keadaan di Penjara Sungai Buloh kini terkawal dan Jabatan Penjara akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang disahkan terlibat dan melanggar peraturan jabatan.

- MALAYSIAKINI

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts