Pandemik H1N1: Aktiviti pencegahan ditingkatkan

Kementerian Kesihatan akan meningkatkan aktiviti pemantauan, pencegahan dan kawalan seiring dengan langkah Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan paras amaran wabak itu ke tahap tertinggi semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata dalam tempoh lima tahun yang lalu, kementerian telahpun membuat persiapan yang baik termasuk latihan dan menyimpan ubat dan alat perlindungan diri.

Selain meneruskan langkah kawalan sedia ada, kementerian akan turut memaklumkan kepada klinik dan hospital kerajaan dan swasta agar mengenal pasti mereka yang mempunyai tanda-tanda influenza dan sama ada pesakit baru balik dari luar negara atau mempunyai hubungan dengan mereka yang baru pulang dari luar negara, katanya kepada pemberita hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata tindakan seperti penutupan sekolah dan institusi serta pembatalan majlis perhimpunan atau perjumpaan awam akan diambil hanya jika terdapat penularan tempatan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini, lapor Bernama.

"Setakat ini belum terdapat sebarang kes penularan tempatan kerana 11 kes yang dilaporkan sebelum ini kesemuanya merupakan kes import," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata kementerian juga akan meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan agar lebih kerap memeriksa tandas di tempat-tempat awam seperti dewan masyarakat dan pusat beli belah bagi memastikan kebersihan tandas-tandas itu dijaga kerana jangkitan penyakit dapat dielakkan dengan amalan kebersihan yang baik.

Beliau berkata kerjasama daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan juga diperlukan bagi menyiarkan langkah-langkah pencegahan wabak itu dengan lebih kerap manakala orang ramai perlu sentiasa mengamalkan amalan kebersihan yang baik, termasuk memakai topeng muka di tempat awam sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda influenza dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun.

Tangguh lawatan

Dr Mohd Ismail berkata bagi membolehkan mereka yang masuk ke negara ini dijejaki sekiranya terdapat sebarang kes Influenza A (H1N1), kementerian akan meminta kerjasama syarikat penerbangan untuk memastikan borang perisytiharan kesihatan diisi sepenuhnya.

Mengenai situasi semasa, beliau berkata tiada kes baru dilaporkan, manakala tujuh daripada kes yang dilaporkan sebelum ini telahpun tamat rawatan dan dibenarkan pulang, meninggalkan hanya empat kes yang masih dirawat.

Beliau berkata sejumlah 32 notifikasi kes yang mempunyai gejala jangkitan influenza setelah kembali dari negara yang terlibat diterima semalam, dan daripada jumlah itu 23 didapati negatif Influenza A (H1N1) manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan.

Sehingga pagi ini, WHO memaklumkan terdapat 28,820 kes dengan 144 kematian dilaporkan semalam, pertambahan 996 kes dan tiga kematian berbanding hari sebelumnya.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang ingin melawat negara yang terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) dinasihat menangguhkan sementara hasrat mereka untuk ke negara terbabit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan itu sebagai langkah pencegahan dalam usaha kerajaan mengelak wabak itu daripada terus menjangkiti rakyat negara ini.

"Mereka yang ingin melawat ke negara yang terbabit dengan wabak H1N1 hendaklah menangguhkan hasrat itu jika tidak perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana Kuala Krai 2009 di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Lama, di Kuala Krai hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi garis panduan khusus kepada rakyat Malaysia di luar negara, termasuk pelajar supaya menjaga kebersihan dalam mengawal penularan penyakit itu.

- BERNAMA Pandemik H1N1: Aktiviti pencegahan ditingkatkan

1 comment... add one now

http://selamatsihat.blogspot.com http://selamatsihat.blogspot.com Isnin, 22 Jun 2009 pada 2:28:00 PTG SGT
Cara mengelak daipada mendapat jangkitan selsema ini, kita hanya perlu menjaga agar sistem imun kita ditahap tinggi.Tubuh kita telah dicipta untuk melawan segala serangan virus dan kuman dengan membekalkan tubuh manusia dengan sistem imun.

Oleh itu ambillah makanan alami (semulajadi) yang boleh meningkatkan sistem imun dan elakkan daripada makanan dan bahan-bahan yang akan menurunkan tahap sistem imun kita seperti merokok, pencemaran (udara, air, bahan kimia) dan sebagainya.

Sebaiknya, amalkan pengambilan makanan suplemen alami untuk membantu sistem imun tubuh anda.

SELAMAT SIHAT!

http://selamatsihat.blogspot.com

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.