Jumaat, Jun 19, 2009

Penganalisis anggap Nik Aziz tak demokratik

Penganalisis politik mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai tidak demokratik selepas mahu Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, meletakkan jawatan yang disandangnya, termasuk Ahli Parlimen Bachok kerana menyokong cadangan kerajaan perpaduan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, berkata tindakan berkenaan jelas bertentangan dengan prinsip parti itu yang melaungkan demokrasi, tetapi bertindak secara autokratik.

“Ia jelas menggambarkan Nik Abdul Aziz sebagai seorang yang tidak demokratik walaupun sebelum ini melaung dan menuntut demokrasi.

“Tindakan itu juga membuktikan kepemimpinan Pas hari ini tidak boleh menerima pandangan atau pendapat orang lain, tidak boleh berlaku percanggahan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan terbabit yang meminta Nasharuddin meletakkan semua jawatan yang disandangnya kini dan menyertai Umno jika terus menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Sementara itu Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata Nik Abdul Aziz menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan kerana bimbang kedudukannya terjejas.

Katanya, ketika pembentukan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional pada 1973 hingga 1977, sewaktu Pas dipimpin Allahyarham Datuk Asri Che Muda, Nik Abdul Aziz gagal mendapat sebarang kedudukan istimewa.

“Pada saya apa yang beliau (Nik Abdul Aziz) serik untuk bekerjasama dengan Umno dan BN ialah bimbang sejarah hitam yang dilaluinya akan berulang kembali, selain bimbang dengan kedudukannya kini.

“Sewaktu kerajaan campuran Pas tidak menderita yang menderita adalah Nik Abdul Aziz, walaupun beliau menang setiap pilihan raya, namun dipinggirkan Presiden Pas ketika itu,” katanya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata bibit perpecahan di dalam Pas kian tampak dan ibarat retak menanti belah jika perkara itu terus berlanjutan.

“Ini adalah perbalahan yang berlaku di kalangan pemimpin tertinggi Pas kerana perbezaan pendapat, jika pertelingkahan terus berlaku Pas akan menghadapi perpecahan,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts