Kerajaan tak galak buka homestay baru

Kementerian Pelancongan tidak menggalakkan homestay baru dibuka di negara ini, kerana jumlah sedia ada sudah terlalu banyak, sedangkan sambutan pelancong dalam dan luar negara terhadap kemudahan itu masih rendah dan tidak memuaskan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata daripada hampir 4,000 homestay sedia ada di seluruh negara, secara puratanya pengusaha hanya mampu menarik kedatangan pelancong sekitar tempoh 30 hari saja dalam setahun.

"Kementerian tidak akan menggalakkan pembukaan homestay baru, jumlah sedia ada ketika ini hampir 4,000 tetapi secara purata pelancong hanya datang 30 hari setahun dan statistik itu sesuatu yang kita tak boleh terima.

"Saya mahu pelancong dalam dan luar negara yang menginap di homestay meningkat hingga 50 peratus dan usaha keras perlu dilakukan bagi mencapai matlamat itu,” katanya selepas Penyampaian Hadiah Pertandingan Kampung Homestay Peringkat Kelantan di Homestay Seterpa, di sini, semalam.

Dalam pertandingan anjuran Persatuan Homestay Kelantan itu, Homestay Kampung Batu Papan, Gua Musang dipilih sebagai homestay terbaik negeri ini diikuti Homestay Seterpa di tempat kedua dan Homestay Renok Baru, Gua Musang yang diumumkan pemenang ketiga.

Dr Ng berkata, sehubungan itu, kementeriannya akan memberi tumpuan terhadap usaha menaik taraf homestay sedia ada mengikut piawaian yang ditetapkan, termasuk memperkenalkan pelbagai tarikan serta keunikan alam semula jadi dan kehidupan masyarakat setempat.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.