Selasa, Jun 02, 2009

Kemenangan PKR bukan mutlak - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bukan kemenangan mutlak yang boleh dibanggakan.

Perdana Menteri berkata, ia satu kemenangan yang tidak memberangsangkan kerana bilangan pengundi di bawah 50 peratus dan bilangan undi yang diperoleh parti itu juga merosot kira-kira 1,300 undi.

"Kemenangan ke atas calon Bebas bukan kayu ukur populariti. Ia bukan kemenangan mutlak yang boleh dibanggakan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Jeju di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada upacara penutup Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Korea Selatan di tempat yang sama.

Hanya 46 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil DUN Penanti hari ini yang dimenangi calon PKR, Dr. Mansor Othman dengan sekadar meraih 6,052 undi.

Tiga calon Bebas iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, ahli perniagaan berketurunan Siam, Nai Khan Ari dan pengusaha kem motivasi, Kamarul Ramizu Idris hilang wang pertaruhan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, calon PKR, Mohammad Fairus Khairuddin memperoleh 7,346 undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Penanti, semalam, jauh lebih rendah dan rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Keputusan pilihan raya itu juga jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi tidak mahu keluar mengundi kerana mungkin tidak bersetuju dengan cara pilihan raya itu diadakan kerana mahu menyelesaikan masalah dalaman PKR.

Undi PKR merosot tanda BN masih punyai kekuatan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti semalam menunjukkan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kekuatan setelah undi yang diperoleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) merosot teruk.

Menurutnya, peratus keluar mengundi yang rendah dan terburuk dalam sejarah pilihan raya negara juga menandakan rakyat membuat protes dan sudah bosan dengan permainan politik pakatan pembangkang.

''PKR janganlah kata mereka hebat sangat, sepatutnya dengan BN tidak bertanding, parti pembangkang itu mampu mendapat undi yang lebih besar daripada wakil rakyat sebelum ini.

''Secara tidak langsung sebenarnya BN mempunyai kekuatan, cumanya kita tidak bertanding," katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mencatatkan sejarah peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya negara apabila hanya 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Walaupun calon PKR, Dr. Mansor Othman hanya bertanding dengan tiga calon Bebas yang lain, beliau cuma mampu memperoleh undi sebanyak 6,052 sahaja.

Jumlah itu berkurangan sebanyak 1,294 berbanding undi yang diperoleh oleh calon PKR, Mohammad Fairus Khairuddin pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu 7,346 undi.

Sekutu pakatan pembangkang iaitu Pas sebelum ini turut melahirkan rasa tidak senang dengan cara peletakan jawatan Mohammad Fairus sehingga menyebabkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, rakyat menunjukkan tanda protes mereka kerana perbuatan PKR memaksa diadakan satu lagi pilihan raya kecil adalah perbuatan yang tidak demokratik.

Kata beliau, keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa rakyat tidak suka dipermainkan dengan sistem demokrasi yang ditafsirkan sendiri oleh pihak pembangkang.

''Jadi petandanya ialah jumlah yang keluar mengundi merosot," katanya.

- UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.