Isu Pendidikan - Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009

Sebanyak 3,000 warga pendidikan berkumpul di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu, sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 pada 16 Mei 2009.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, kesemua warga pendidikan dari seluruh negara bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Guru yang bertema Guru Pembina Negara Bangsa.

Menurut beliau, tema berkenaan dipilih bersesuaian dengan peranan besar yang dipikul oleh para guru untuk membangunkan negara sejak sebelum merdeka sehingga sekarang.

''Walaupun negara bangsa telah wujud sejak kita mencapai kemerdekaan, namun ia perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ini kerana menurut beliau, cabaran guru sekarang adalah lebih besar iaitu menghadapi persaingan global dan memberi pendidikan terbaik untuk para pelajar.

''Membina negara bangsa juga ada kaitan dengan Wawasan 2020 yang hanya tinggal 10 tahun lagi dalam usaha Malaysia menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri,'' katanya.

Sempena sambutan Hari Guru itu, Kementerian Pelajaran akan melancarkan sebuah buku penilaian untuk guru iaitu Standard Kualiti Guru Malaysia (SKGM) hasil usaha Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran.

Menurut Alimuddin, buku berkenaan akan dijadikan garis panduan untuk guru membuat penilaian kendiri terhadap tugas-tugas yang dilaksanakan.

''Ini bermakna guru sendiri boleh menilai kerja masing-masing melalui soalan kaji selidik yang terdapat dalam buku berkenaan,'' katanya.

Sejajar dengan itu, beliau berkata, pihak kementerian berharap guru mampu memberi markah yang tinggi untuk diri sendiri.

''Jika mereka mendapat markah yang tinggi bermakna mereka guru yang berkualiti tetapi jika mendapat markah yang rendah, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memperbetulkan keadaan,'' katanya.

Katanya, serentak dengan pelancaran buku SKGM itu, penilaian berkenaan akan bermula setelah ia diedarkan ke sekolah-sekolah.

''Buat masa ini, kita serahkan kepada pihak sekolah untuk mengendalikan penilaian itu iaitu kerjasama Guru Besar dan Pengetua serta guru-guru untuk melihat pencapaian masing-masing serta melakukan penambahbaikan,'' katanya.

Selain SKGM, Kementerian Pelajaran mengeluarkan buku Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) oleh Jemaah Nazir dan Standard Kualiti Pengetua dan Guru Besar oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan itu, Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan mengadakan Festival Hari Guru 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Terengganu bermula 14 sehingga 17 Mei.

Pelbagai acara menarik disediakan untuk pengunjung festival berkenaan termasuk program kerjaya bersama-sama Petronas, Bengkel Pembelajaran Untuk Guru dan Pelajar oleh Petrosains dan Telekom Smart School (TSS).

Turut diadakan ialah pertandingan Fesyen Kerjaya, pertandingan Nasyid Kontemporari, pertandingan bercerita, pertandingan e-Lab Tongue Twister dan pertandingan e-Lab Turtle Talk.

Unit Pendidikan Utusan Malaysia turut mengadakan Bengkel Pendidikan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) untuk para pelajar di Terengganu.

Aktiviti-aktiviti lain termasuklah pertandingan Reka Cipta dan Lumba Bot-Row, Row, Row Your Boat, Cara Membuat Aiskrim, Demonstrasi Jalan Raya dan Konsep-konsep sains dalam kehidupan seharian.

Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen untuk kategori bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu pula akan diadakan pada 14 Mei.

Selain itu, turut diadakan ialah Forum Pendidikan di Wisma Darul Iman (WDI) dan Majlis Menjunjung Budi untuk guru di pedalaman, guru di pulau, guru pendidikan khas, guru sekolah integriti dan guru di bandar-bandar besar.

Menurut Alimuddin, pemilihan guru dari bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk majlis berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang turut menghadapi pelbagai cabaran seperti yang dihadapi oleh guru di pedalaman.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.