Sabtu, Mei 23, 2009

Risalah judi cemar Islam


“Saya bersyukur mendapat pertolongan Tok. Saya membalas jasa Tok dengan menderma sebahagian wang dan mencetak risalah untuk disebarkan kepada penganut lain supaya mereka boleh menjadi seperti saya,” demikian pengakuan seorang lelaki Islam selepas dikatakan memenangi sejumlah wang hasil berjudi nombor ekor dengan bantuan seorang sami.

Pengakuan lelaki terbabit disebarkan menerusi satu risalah menggunakan nama Sulaiman bagi memesongkan akidah umat Islam terutama mereka yang gila nombor atau sedia terjebak dengan kegiatan negatif itu.

Melalui risalah terbabit, lelaki berkenaan mendakwa menghadapi masalah kewangan dan mendapatkan bantuan sami berkenaan dikenali sebagai Tok Cai Bo Ting dengan membuat satu panggilan telefon.

Menerusi panggilan itu, Sulaiman meminta tunjuk ajar daripada sami itu untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi.

“Tok menilik nasib dan memberitahu akan ada peluang memiliki kekayaan dan menyuruh saya membeli nombor 7007.

“Nombor itu memang menjadi memenangi hadiah pertama judi nombor ekor. Saya amat bersyukur,” katanya.

Selain meminta orang ramai menghubungi nombor tertera untuk sebarang tilikan, risalah diedarkan sindiket nombor ekor haram itu turut memaparkan gambar sami dimaksudkan bagi mempengaruhi kaki judi.

Pengakuan lelaki itu walaupun mungkin rekaan, tetapi sedikit sebanyak mencemarkan kesucian Islam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Ab Aziz Ab Rahman ketika dihubungi, berkata kegiatan pengedaran risalah judi yang menggunakan nama umat Islam itu seolah-olah sengaja menjatuhkan maruah dan mencemar kesucian Islam kepada masyarakat lain.

Beliau berkata pengedaran risalah menggunakan individu Islam itu mungkin boleh mempengaruhi umat Islam lain terutama kaki judi supaya percaya kepada tilikan dan bergantung nasib selain Allah.

- HARIAN METRO

1 ulasan:

  1. bukan setakat mencemar nama islam tetapi ia menggalakkan tabiat yg tak bagus di khalayak orang ramai

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts