Isu Pendidikan - Isu buli di sekolah

Apa yang patut dilakukan sekiranya dibuli?

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub, terdapat beberapa tahap untuk menangani masalah buli iaitu:

Tahap sekolah

Pihak sekolah perlulah mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada dalam bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta para pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli. Selain itu, pelajar juga boleh menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapatkan respons tertinggi tentang perkara ini, identiti pelajar perlulah dirahsiakan.

Pihak sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa. Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli, contohnya talian hotline buli 1-800-884774.

Tindakan disiplin, merotan, dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli.

Penggunaan kamera litar tertutup(CCTV) di sekolah-sekolah secara tidak langsung dapat mengekang kejadian gengster.

Perlu wujudkan satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah. Antara ahli yang terlibat terdiri daripada pengetua sekolah, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa, dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.

Perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) sekolah.

Tahap kelas

Di dalam kelas, perlu diwujudkan satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli. Peraturan tersebut msetilah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya.

Ia tidak susah, setiap pelajar hendaklah diberikan senarai peraturan berkenaan tingkah laku buli dan hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah.

Selain itu, guru-guru juga hendaklah membincangkan tentang isu buli dari semasa ke semasa.

Tahap individu

Tahap ini biasanya akan melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.

Selain itu, guru kaunseling juga bolehlah mengadakan sesi yang memainkan peranan terhadap tingkah laku empati(daya menyelami dan memahami perasaan dan emosi orang lain) atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan pemulihan pula perlu diadakan dengan mangsa.

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.