Isnin, April 20, 2009

Tinjauan Blog - Polemik pilihan raya kecil Penanti

Oleh LUKMAN ISMAIL

Isu pilihan raya kecil Penanti menjadi pilihan kalangan penulis blog untuk membuat ulasan baik terutama berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi bayangan tidak akan meletakkan calon Barisan Nasional (BN).

Syed Imran (kudaranggi.blogspot.com) pada 18 April menyokong cadangan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN malah kenyataan tersebut dianggap realistik.

Tulis beliau, pertandingan pada pilihan raya kecil itu hanya akan membuang masa dan membazir wang rakyat.

''Andai kata ada pertandingan dan sekiranya BN bertanding dan menang, ia tidak akan mengubah kedudukan BN dalam Dewan Undangan Negeri dan jika BN kalah, sesuatu yang boleh dikatakan pasti, BN dan Najib yang akan malu.

''Oleh itu, elok sangatlah jika BN tidak bertanding. Tiada siapa pun yang rugi. Itulah realitinya,'' tulis beliau.

Jed Yoong (jedyoong.com) 19 April turut mahukan BN bertanding menentang calon pembangkang di Penanti.

Tulisnya: ''Apakah BN mahu membiarkan Parti Keadilan Rakyat menang begitu sahaja?

''Apakah ini akan meyakinkan rakyat Malaysia kepada BN?''

Katanya, siapa tahu BN boleh menewaskan PKR di Penanti, jika parti kerajaan itu meletakkan calonnya.

Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com) dalam Kepal Nasi Kepal Beras pada 18 April pula menganggap pilihan raya kecil Penanti sengaja dicetuskan bagi melemahkan BN, khususnya Najib.

Katanya, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan apa sahaja untuk menambah pencemaran dan merencatkan imej Najib daripada terbina kukuh.

''Ini permainan politik dan tiada undang-undang yang boleh melarang. Demokrasi membenarkannya.

''Bagi mereka, rakyat penting tapi untuk dimanipulasi dan bukan untuk dibela. Ekonomi tergugat boleh menjejaskan hidup rakyat, tapi bagi mereka ia adalah peluang untuk menjatuhkan kerajaan,'' tulisnya.

Katanya, dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak pembangkang, adakah BN masih boleh melayan rentak dan permainan yang dicipta Anwar?

''Jika tidak perlu, biarkanlah saja mereka bersilat sesama sendiri di gelanggang Penanti. Anwar memang mahukan BN mengikut rentak tarinya,'' tulis beliau.

Dr. Novandri Hasan Basri (novandri.blogspot.com) melalui blognya Minda Intelek Melayu pada 18 April pula membayangkan BN akan tetap meletakkan calonnya di Penanti.

Malah beliau meramalkan jumlah pengundi yang keluar membuang undi tetap tinggi walaupun ada di kalangan mereka yang sudah muak dengan permainan politik.

''Satu soalan cepu emas yang perlu dijawab nanti ialah siapakah calon BN dan calon PKR ?

''Tentunya, beberapa nama 'wajib' akan bermain di kepala kita semua. Di antaranya ialah Datuk Ahmad Saad, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Datuk Pirdaus Ismail,'' tulisnya.

Katanya, pada masa yang sama beliau juga mengharapkan kejutan untuk menghangatkan lagi pilihan raya kecil Penanti dengan kemungkinan muncul muka-muka baru, termasuk calon wanita.

''Yang penting ialah tidak akan berlaku lagi protes dan boikot seperti dahulu. Apakah ia akan menjadi satu realiti atau sebaliknya?'' tulis beliau.

Sementara itu Azizi Abdullah (aziziabdullah.blogspot.com) pada 19 April pula mengulas mengenai peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin yang mendorong kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil.

Tulis beliau, tidak boleh dinafikan, sebahagian besar ahli PKR terutama yang berjawatan semuanya bekas ahli UMNO dan mereka menyertai PKR sama seperti Anwar Ibrahim yang menubuhkan PKR.

Jelas beliau, yang silapnya ialah mereka turut membawa bungkusan, penggalas, fail-fail malah perlembagaan UMNO masuk ke pejabat PKR.

''Maka kerana itu, saya memandang PKR, apa yang berlaku akhir-akhir ini, sama ada melompat, keluar dan letak jawatan, ia bukan berakhir dengan memilih orang lain bertanding. Ini masalah dalaman, masalah roh, masalah ketakwaan.

"Di Penanti, bagi saya, letaklah siapa pun hal yang sama akan berulang,'' tulis beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.