Saya tidak takut bayang sendiri - Ahmad Said


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menegaskan bahawa beliau tidak pernah takut pada bayang-bayang sendiri berikutan timbulnya isu undi tidak percaya sebelum ini.

Ahmad berkata, beliau sentiasa bersikap positif terhadap apa juga yang berlaku dan meminta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri berkhidmat untuk parti dan rakyat.

"Saya tak pernah takut pun. Dulu pun saya begini. Sebagaimana yang saya katakan dulu, saya bersikap positif. Perkaranya sangat mudah, kalau orang lain (ADUN) datang (sidang DUN) takkan kita tak boleh datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid supaya pemimpin negeri tidak takut pada bayang-bayang yang menyebabkan timbulnya kes ugutan bunuh terhadap tiga ADUN.

Ahmad berkata, beliau tidak pernah mempunyai perasaan sedemikian sambil mengakui sudah menjelaskan berhubung SMS ugutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Selain itu, ketika ditanya berhubung kehadiran 10 ADUN yang memenuhi tempat masing-masing selepas memulaukan sidang DUN hari sebelumnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ADUN terlibat.

Ditanya sama ada tindakan memboikot dewan sebelum ini ada kaitan dengan tanda sokongan terhadap beliau sebagai pemimpin kerajaan negeri, beliau meminta pihak lain menilainya sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak pernah berkecil hati dengan tindakan mereka kerana menganggap parti dan rakyat lebih penting.

Mengulas lanjut, beliau belum menemui kesemua 10 ADUN untuk mendapatkan penjelasan berhubung permasalahan tersebut sehingga kini.

MB 'jangan takut bayang-bayang sendiri' - Idris Jusoh

Bekas menteri besar Terengganu menggesa penggantinya Datuk Ahmad Said agar tidak paranoid sehingga terfikir ada usaha menjatuhkannya melalui usul undi tidak percaya.

"Cuma, saya ingin beritahu, jangan ada pihak yang paranoid... takut bayang-bayang sendiri.

"Kalau tiada (usul undi tidak percaya), tiadalah," Datuk Seri Idris Jusoh dipetik berkata di luar sidang DUN hari ini.

Beliau bersama sembilan lagi ADUN Barisan Nasional negeri itu hadir semula pada hari terakhir persidangan dewan selepas memulaukan DUN semalam susulan mesej ugutan terhadap tiga rakannya.

Idris, juga ADUN Jerteh, berkata mereka mengambil tindakan semalam kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, di samping bersimpati mereka yang diugut, lapor Bernama.

Tiga ADUN tersebut awal pagi semalam membuat aduan polis apabila menerima mesej SMS berbunyi: "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".

Ugutan tersebut, didakwa daripada seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dipercayai berkaitan dengan ura-ura membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad.

Idris terpaksa melepaskan jawatan menteri besar selepas istana tidak memperkenan pelantikannya bagi penggal kedua pada Mac tahun lalu dan digantikan dengan Ahmad.

Krisis terbaru di negeri tersebut dipercayai warisan pergolakan tahun lepas yang menyaksikan ketegangan antara dua kem BN selama beberapa minggu.

Mereka yang menerima ugutan tersebut - Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) - bersama Idris tampil pada sesi persidangan pagi yang dilaporkan berjalan lancar.

Turut hadir: Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Kesemua 10 ADUN itu bertindak sedemikian selepas menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Lapan ADUN pembangkang, semuanya PAS, turut hadir bersama 13 wakil rakyat BN dan barisan 10 exco negeri bawah pimpinan Ahmad.

Menurut laporan agensi berita itu lagi, Rosol berkata beliau sudah mengemukakan laporan kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pihak Istana Terengganu berhubung perkara itu.

Beliau juga berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang menghantar SMS ugutan itu kerana ia dianggap serius.

"Alhamdulillah, semua hadir. Cuma saya berasa pelik kerana yang menghantar SMS ini adalah pegawai kanan kerajaan negeri kepada wakil rakyat kerajaan.

"Perkara ini tidak pernah berlaku dan polis belum mengambil tindakan terhadap beliau," Rosol dipetik berkata.

Ahmad pula dilaporkan berkata kesemua ADUN berkenaan "perlu
bersikap positif dan mengutamakan parti serta rakyat" dengan menghadiri persidangan hari ini.

"Terima kasih, baguslah. Kalau orang lain boleh mari (datang), tak kan mereka tidak boleh mari. Saya tidak berasa hati (dengan mereka)," katanya.

Ditanya sama ada beliau takut dengan bayang-bayang sendiri seperti saranan Idris, Ahmad dipetik berkata:

"Saya tidak pernah takut, dulu pun saya pernah (berdepan) dengan perkara (seumpama ini semasa pelantikannya sebagai menteri besar)."

Dalam sidang media, Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Najib mengenai isu terserbut dan akan bertemu timbalan perdana menteri dalam masa terdekat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata beliau ingin menemui Ahmad untuk mendapat gambaran sebenar mengenai kemelut politik yang melanda kepimpinan BN negeri itu sekarang.

Ahad lalu, Muhyiddin menerima rombongan ADUN BN negeri itu yang tidak berpuas hati pada menteri besar mereka.

- SINAR HARIAN & MALAYSIAKINI

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.