Rabu, April 22, 2009

Pendapat awal tunjuk pengundi mahu BN bertanding di Penanti

Umno Permatang Pauh sedang mengumpul pendapat umum daripada pengundi di Penanti sama ada mereka mahu Barisan Nasional bertanding di situ dalam pilihan kecil ekoran peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata maklumat balas awal yang diterima daripada pungutan pendapat menerusi SMS menunjukkan 80 peratus daripada 300 pengundi yang diminta memberi pendapat mahukan BN bertanding.

"Umno Permatang Pauh akan membuat rumusan daripada pungutan pendapat itu dan mengemukakannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional Permatang Pauh malam tadi.

Minggu lepas, Mohammad Fairus melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Penanti itu dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran. Beliau sebelum itu meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang ekoran dakwaan terlibat dalam rasuah.

Abdul Jalil berkata bahawa selama ini, PKR telah mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat di Penanti.

Apa yang jelas, katanya, ialah jelas PKR telah melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon yang yang tidak berkualiti pada pilihan raya umum lepas.

"Walaupun telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, Muhammad Fairus tidak memberikan sumbangan kepada kawasan itu," katanya.

Abdul Jalil berkata adalah tidak wajar bagi PKR untuk meminta pengundi di Penanti memberikan peluang kedua kepada parti itu.

"Wang yang digunakan untuk mengendalikan pilihan raya adalah wang rakyat dan pembayar cukai. Gunakan wang itu untuk membantu rakyat bukan dibazirkan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

- BERNAMA

2 ulasan:

  1. Pada saya, baik letak jawatan jika kita rasa kita tidak mampu untuk menyumbang kepada rakyat daripada ponteng persidangan bagi membincangkan kemaslahatan rakyat. Bercakap tentang wang rakyat,patut kaji pembazirannya di segenap aspek.

    BalasPadam
  2. Sememangnya UMNO masih lagi fobia dengan kekalahan teruk di 4 kawasan. Petanda yang jelas ialah UMNO semakin tenat sehinggakan untuk bertanding pun dah rasa tak larat.

    UMNO hanya berani bertanding bila ada sokongan daripada kaum cina dan India tapi apabila orang India dan Cina menyokong pakatan rakyat UMNO-BN mula menyorokkan kepala tanda menyerah diri.

    UMNO hanya mampu menunjukkan taring di Sabah dan Sarawak. tak mustahil pada PRK 13 nanti UMNO-BN akan dikuburkan di Malaysia.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.