Jumaat, April 10, 2009

Fenomena Search kembali


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Apabila membicarakan tentang kumpulan yang satu ini, terlalu banyak rakaman sejarah yang tercatat dalam kerjaya seni mereka. Ada banyak catatan manis dilakar mereka. Tidak kurang, mereka juga pernah dipinggirkan daripada pihak-pihak tertentu yang seperti tidak menghargai sumbangan besar mereka.

Barangkali, pada mereka, dalam arus modenisasi hari ini muzik Search tidak lagi relevan sedangkan hakikatnya kumpulan berkenaan merupakan pelopor kepada kebangkitan genre muzik rock di negara ini.

Ramai anak muda yang mahu menjadi sehebat Search yang mula ditubuhkan pada 1981 di Johor Bahru itu.

Tempoh 28 tahun memperjuangkan irama rock bukan satu jangka masa yang singkat buat Search yang dianggotai oleh Amy, Yazit, Hillary, Nordin dan Nasir itu.

Rekod pencapaian mereka mencipta sejarah luar biasa dalam direktori hiburan tanah air.

Siapa yang dapat lupa album kelima mereka, Fenomena yang diterbitkan pada tahun 1989 berjaya mencatatkan penjualan tertinggi tahun itu dengan 220,000 unit di Malaysia.

Ia diteruskan dengan kejayaan Search menembusi pasaran muzik Indonesia. Kumpulan itu pernah menjadi artis nombor satu di republik itu dengan berbekalkan lagu keramat mereka, Isabella.

Dengan penjualan album Fenomena melebihi 600,000 unit di sana, Search dijadikan inspirasi oleh kumpulan di sana yang menyifatkan muzik Search telah melangkaui masa.

Malah, kehangatan dan populariti lagu ciptaan Search bersama Bob itu juga telah dijadikan sebuah filem usaha sama Malaysia dan Indonesia juga menggunakan judul yang sama lakonan Amy dan pelakon jelita, Nia Zulkarnaen.

Populariti Search tidak hanya tertumpu di negara ini sahaja. Fenomena mereka tercetus di segenap pelosok negara-negara Asia sehingga lagu Isabella dirakam serta dialih bahasa dalam pelbagai bahasa.

Biarpun muncul kumpulan baru bagai cendawan selepas hujan Search tetap berdiri teguh meskipun pawana dan ribut kuat datang melanda.

Ketika sambutan ulang tahun ke-25, Search pernah menyuarakan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert istimewa.

Sayang sekali, hasrat itu tidak kesampaian. Search benar-benar kecewa sehingga membuat keputusan untuk berundur.

Terguris hati kerana tidak dihargai, luka yang terhiris mengambil masa yang cukup lama untuk dirawat.

Sehinggalah sekitar tahun lalu, kesemua anggota Search sepakat mahu mengadakan sebuah konsert tetapi bukanlah sebuah konsert biasa.

Sebuah konsert terakhir diusahakan bagi mengucapkan selamat tinggal kepada industri dan peminat mereka yang telah memberikan nyawa untuk mereka terus hidup selama 28 tahun di pentas seni tanah air.

Banyak pintu syarikat korporat dan swasta diketuk untuk mendapatkan penajaan dan sokongan namun semuanya dipandang sepi.

Bagaimanapun keadaan berubah. Kekecewaan Search diubati apabila mereka bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Shazalli memberikan jawapan positif apabila Search menyuarakan hasrat mereka.

Ini diakui sendiri oleh Shazalli sewaktu sidang media Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru yang diadakan Isnin lalu.

"Saya memang tidak bersetuju dan terkejut apabila Search mengatakan mereka mahu bersara dan mengucapkan Selamat Tinggal.

"Mereka masih lagi 'berbisa' dan diperlukan di dalam industri dan tiada siapa yang mampu menidakkan fakta itu," Shazalli mengulas keputusan drastik Search.

Berbangga dengan rekod Search menyebabkan Shazalli yang mengagumi kumpulan legenda itu tidak teragak-agak menyatakan persetujuan untuk menaja konsert bersiri Search.

"Konsert ini sebagai penghargaan kepada Search yang telah banyak berjasa dan berbakti kepada negara. Menjadi satu kerugian besar sekiranya mereka tidak diangkat ke tahap yang sepatutnya," jelas Shazalli.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah keempat-empat anggota Search kecuali Nasir yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta pada hari yang sama.

Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru bukanlah sebarangan konsert kerana ia merupakan konsert jelajah Search ke seluruh negara di 11 lokasi terpilih yang akan membuka tirainya bermula 2 Mei ini di Seberang Jaya, Pulau Pinang sebagai lokasi pertama.

Menjelaskan lanjut mengenai konsert itu, Shazalli memberitahu, ia bukan sekadar penajaan tetapi adalah lebih daripada segala-galanya dengan memperkenalkan pelbagai kandungan digital yang mampu memikat peminat kumpulan terunggul itu.

"Pelbagai mekanisme telah diambil untuk menghangatkan lagi konsert ini. Saya percaya jika semua pihak bersatu serta bergabung untuk kelancaran konsert ini, ia mampu mengembalikan fenomena Search seperti mana yang pernah mereka kecapi sebelum ini.

"Ini bukan sekadar penajaan, sebaliknya kami mahu mencetuskan semula kuasa muzik yang menjadi kebanggaan kita serta menjadi nadi industri muzik kita selama ini," katanya lagi.

Doa dimakbulkan

Dan bagi Amy selaku vokalis kumpulan itu, hanya kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi.

Secara rendah diri, Amy terlalu bersyukur doa dan dia rakan-rakannya dimakbulkan.

Apatah lagi, dengan faktor usia kesemua anggota Search yang mencecah setengah abad menjadikan mereka pada mulanya agak skeptikal dengan penerimaan Celcom.

Lebih-lebih lagi dengan sejarah hitam yang berlaku tiga tahun lalu membuatkan mereka tidak yakin untuk meneruskan impian mereka untuk menghargai peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

"Siapa yang tidak terkejut apabila tawaran sebesar ini. Ia adalah penghargaan yang besar untuk kami kerana sudah lama kami tidak mengadakan konsert jelajah negara," katanya dalam nada sebak.

Berbeza dengan senario industri muzik dua dekad lalu, setiap kali Search muncul dengan album baru, pastinya mereka akan menjelajah ke seluruh negara.

"Kali terakhir kami jelajah negara pun adalah pada tahun 90-an. Sudah tentu kami amat merindui untuk menikmati momen-momen indah itu bersama peminat kami.

"Ini juga menandakan perjuangan kami dalam bidang seni selama ini dihargai dan disanjung oleh anak tempatan sendiri," kata Amy lagi.

Tambahnya, sokongan dan kata perangsang yang diberikan oleh Shazalli menjadikan dia dan Search bertambah semangat untuk memberikan yang terbaik dalam konsert jelajah ini.

"Ada betulnya kata Shazalli. Jika kumpulan The Rolling Stones dan Aerosmith masih lagi bertenaga di kala usia mereka yang sudah pun melewati 50 tahun, masakan Search tidak boleh berbuat demikian," Amy berkongsi pandangan dengan orang kuat syarikat telekomunikasi popular itu.

Justeru, bagi memastikan konsert mega ini berjalan lancar, Amy dan rakan-rakannya kini giat menjalani latihan di sebuah studio yang terletak di Jalan Robson, Kuala Lumpur.

Ikrar Amy, dia mahukan peminat-peminat setia dan mungkin peminat baru untuk berhibur dan merasai kuasa muzik Search.

"Saya tidak mahu bercerita panjang nanti tak seronok pula. Saya mahu peminat semua datang ke konsert kami dan kami berjanji mereka tidak akan berasa kecewa dengan persembahan kami," kata pemenang Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik dua kali itu penuh bersungguh.

Dengan pelaburan yang begitu besar, Search semestinya tidak mahu memberikan persembahan yang biasa, sebaliknya mereka mahu sesuatu yang luar biasa tercetus menerusi konsert jelajah ini.

"Memikul tanggungjawab dan kepercayaan yang telah diberikan menjadikan kami begitu teruja dengan konsert ini. Kami tidak mahu menghampakan sesiapa dan kami percaya dengan persiapan serta perancangan, semuanya akan menjadi teratur," kata Amy lagi.

Lokasi konsert jelajah itu diadakan di beberapa kota yang terpilih seperti Johor Bahru, Kuching dan Alor Setar. Selebihnya di Kota Bahru dan bandar-bandar kecil sahaja.

Pada siri konsert jelajah berkenaan juga, Yazit selaku pemain drum memberitahu, Search telah menyenaraikan lagu-lagu mereka merangkumi dari album pertama mereka, Cinta Buatan Malaysia sehinggalah ke album Gothik Malam Edan untuk diperdengarkan kepada peminat kelak.

Malah, secara eksklusifnya, Search juga akan mempersembahkan salah satu daripada tiga single terbaru mereka sebagai tanda perjuangan muzik mereka belum bernoktah.

Penghasilan tiga single itu adalah kolaborasi mereka bersama Celcom dan lagu-lagu itu nanti akan dapat dimuat turun khusus untuk pelanggan Celcom.

"Kami sedar industri hiburan tidak lagi sama seperti zaman kegemilangan yang pernah kami kecapi dulu. Sekarang ini, penjualan album pun tidak memberangsangkan dan ditambah pula dengan kesuraman ekonomi global.

"Tetapi kami sedar perjuangan muzik kami begitu kuat dalam diri masing-masing dan kerana itu juga kami menghasilkan lagu baru untuk peminat setia kami.

"Dengan adanya lagu terbaru ini diharap dapat memanjangkan lagi hayat Search serta dapat menambah peminat baru selain daripada peminat kami yang sedia ada," jelas Yazit penuh optimis.

Harga-harga tiket untuk menyaksikan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di 10 lokasi adalah berharga RM35 dan RM55 kecuali di Kuala Lumpur yang mengenakan harga RM55 dan RM85.

Untuk keterangan lanjut berhubung pembelian tiket, sila layari laman sesawang www.tickethotline.com.my

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts