Jumaat, April 10, 2009

Gambar ngeri di kotak rokok sekadar hiasan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Adakah penampilan wajah baru kotak rokok dengan pelbagai 'gambar hiasan' mendatangkan sebarang kesan kepada perokok?

Penulis sendiri pernah mengajukan soalan tersebut kepada rakan-rakan perokok. Ada yang tidak kisah dengan paparan gambar-gambar mengerikan itu.

Ada yang kononnya berasa ngeri justeru memastikan rokok yang dibeli masih versi kotak lama.

Lebih daripada itu dan untuk menutup kengerian tersebut, ada perokok yang menyediakan kotak penyimpan khas, juga kononnya tidak sanggup melihat gambar-gambar itu.

Ada juga yang 'main-main' apabila dengan selamba membuat percaturan tentang gambar menarik yang ingin dilihat hari ini.

Realitinya, arahan supaya syarikat pengeluar rokok memaparkan gambar-gambar ngeri pada kotak pembungkus ada matlamatnya.

Hasrat murni yang mengiringi arahan tersebut adalah supaya perokok-perokok sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tabiat buruk itu.

Pasti terlintas di fikiran pihak yang mengeluarkan arahan bahawa jika orang biasa tidak sanggup menatap gambar paru-paru rosak, barah mulut, barah leher, janin rosak dan bayi cacat, perokok juga pasti akan berasa kengerian sedemikian.

Paparan gambar itu juga dilengkapi dengan kesan warna yang sememangnya mengerikan dan meloyakan kepada sesiapa saja yang melihatnya.

Tentunya akan ada timbul sedikit keinsafan di kalangan mereka tentang betapa buruk dan teruknya akibat daripada tabiat merokok.

Jika diikutkan logik akal, manusia mana yang sanggup membiarkan organ dalaman mereka rosak atau cacat sehingga membawa kepada kematian hanya kerana nikmat 'asap.'

Tetapi itu hanya kesimpulan manusia normal yang tahu menilai harga serta nilai organ yang setiap satu diciptakan Tuhan lengkap dengan fungsi masing-masing.

Tentunya manusia normal tidak mahu membiarkan organ-organ yang membantu mereka menyedut udara dan menjalani hidup dengan selesa dimusnahkan dengan sengaja.

Pastinya juga sebagai manusia normal juga terutamanya bagi kaum lelaki tidak sanggup melihat zuriat mereka cacat atau hasrat menimang cahaya mata kecundang akibat janin tidak sempurna gara-gara tabiat merokok.

Tetapi itu ketakutan serta kegerunan manusia normal yang celik mata, tajam otak serta peka telinga untuk menyerap maklumat tentang betapa bahayanya jika bergelar perokok.

Lantas kumpulan normal itu berusaha mengelak daripada menjadi hamba batang-batang rokok yang setiap satu menawarkan 'zat' serta 'vitamin' pemusnah yang bukan sedikit.

Bagaimanapun kesedaran seumpama itu tidak terpakai kepada golongan perokok terutama yang tegar dan kufur nikmat.

Sebab itu paparkanlah gambar apa pun pada kotak rokok, belum tentu hati mereka akan terusik jauh sekali mahu 'bertaubat' daripada terus menjadi perokok. Mereka tidak pernah kisah jauh sekali berasa gerun akan status kesihatan sendiri.

Jumlah perokok yang berhenti daripada tabiat tersebut juga tidak ramai. Jika ada pun perhentian mereka bermusim.

Pantang ternampak kepulan asap rokok, ketagihan untuk menyedut gabungan pelbagai bahan itu kembali menggila. Lantas gambar-gambar ngeri hanya menjadi hiasan kotak rokok.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts