Rabu, April 08, 2009

Mitos demokrasi

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Apakah demokrasi hanya berfungsi dari institusi politik dan perlembagaan bertulis?

Benjamin Barber ialah seorang ilmuwan politik dan penulis tersohor di Amerika Syarikat, meskipun tidak begitu dikenali di Malaysia. Barber merupakan pendukung kuat gerakan New Citizenship, atau apa yang disebut orang sebagai Neo-Progresivisme. Gerakan itu meletakkan warganegara sebagai unsur terpenting dalam masyarakat dan negara demokrasi. Beliau telah menulis lebih daripada 14 buah buku, termasuk yang terlaris iaitu Jihad Vs. McWorld dan Strong Democracy. Minat ilmuwan kelulusan Universiti Harvard ini begitu luas iaitu daripada demokrasi sehinggalah kepada isu-isu kebudayaan dan pendidikan. Fikiran-fikirannya tersebar di pelbagai media seperti Harper's Magazine, The New York Times, The Atlantic, The Nation, Le Nouvel Observateur, Die Ziet, dan banyak penerbitan lain di Amerika mahupun Eropah. Selama 10 tahun, beliau juga adalah pemimpin redaksi jurnal berpengaruh Political Theory. Pandangan-pandangannya didengari oleh tokoh-tokoh seperti Bill Clinton, mantan Presiden Amerika, mantan Canselor Jerman, Roman Hertzog, serta lembaga-lembaga penting di dunia.

Salah satu pemikiran penting Barber adalah mengenai demokrasi iaitu pertanyaan skeptis terhadap demokrasi. Pertama, apakah demokrasi itu exportable (mudah dieksport)? Apakah demokrasi itu sejenis komoditi formal yang boleh dikirim melalui pos atau faks oleh mereka yang 'memiliki' demokrasi kepada mereka yang 'tidak memiliki'? Kedua, apakah demokrasi hanya berfungsi dari institusi politik dan perlembagaan bertulis? Dapatkah kebebasan dimenangkan dengan cara menulis atau meminjam dokumen perlembagaan negara dengan demokrasi lainnya atau merancang suatu Parlimen?.

Ketiga, Barber menyoal apakah demokrasi sinonim dengan pasaran? Apakah kekalahan komunisme dan kemenangan kapitalisme menjamin kemapanan demokrasi? Keempat, apakah demokrasi bergantung pada kepimpinan yang luar biasa dan negarawan yang agung seperti yang terdapat pada Churchill, De Gaulle, Roosevelt atau Vaclav Havel? Menurut Barber, keempat-empat hal itu adalah mitos yang berbahaya yang sayangnya, diyakini oleh kebanyakan orang. Demokrasi, dalam pandangan Barber, bukanlah sesuatu yang 'dihadiahkan' dari seorang kepada seorang lain, tetapi 'buah' dari perjuangan, keringat, usaha, dan sesuatu yang harus direbut. Demokrasi juga bukan sesuatu yang diberikan dari atas ke bawah. Ia tumbuh dari bawah. Sesiapa pun yang berharap untuk merancang institusi-institusi demokratik yang mampu bertahan, menurut Barber, pertama sekali perlu memahami landskap dan topologi tempat berdirinya struktur-struktur demokrasi.

Barber menolak anggapan bahawa demokrasi sinonim dengan pasaran bebas. Kebebasan untuk membeli minuman ringan coke atau video Lion King belum merupakan kebebasan bagi menentukan bagaimana kita hidup bersama dan di bawah rejim pemerintahan apa pun. Coke dan McDonald's serta MTV dapat dinikmati di negara-negara tidak demokratik mahupun semi-demokratik. Mengikut Sejarah, bukan kapitalisme yang menghasilkan demokrasi, tetapi demokrasilah yang melahirkan kapitalisme. Kapitalisme memerlukan demokrasi, tetapi tidak tahu bagaimana cara menciptakan atau mempertahankannya. Ia juga tidak sepakat bahawa demokrasi bergantung pada pemimpin. Kualiti demokrasi, menurut keyakinan Barber, bergantung kepada kualiti warga, bukan kualiti pemimpinnya. Rejim-rejim fasis dan komunis - kediktatoran memang memerlukan pemimpin besar untuk bertahan. Namun begitu, masyarakat demokratis memerlukan warga yang efektif.

Demokrasi adalah pemerintahan tanpa 'pahlawan' dengan perempuan dan lelaki biasa mengerjakan hal-hal yang luar biasa di atas asas yang teratur dan berlanjutan. Dalam drama Barthold Brech, Galileo adalah salah satu wataknya. Galileo berkata: "Kasihan negeri yang tidak mempunyai pahlawan." Yang lain menyahut: "Bukan, yang kasihan negeri yang memerlukan pahlawan." Barber memang memimpikan demokrasi yang ideal kerana ideal demokrasi adalah kebebasan, tetapi Barber lupa bahawa demokrasi adalah ibarat 'kuih' yang senang dimakan tetapi sulit dicerna. Ia ibarat sesulit mencerna Osama dan Bush untuk melahirkan sintesis baru, sebuah dunia baru yang lebih bersahaja dan manusiawi.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts