Integriti mesti disemai di bangku sekolah

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln pernah berkata: 'The triumph of evil is for good men to do nothing' atau bermaksud 'orang yang jahat akan menang jika orang yang baik tidak berbuat apa-apa'.

Bagi Institut Integriti Malaysia (IIM), kenyataan itu kerap digunakan setiap kali perbincangan mengenai isu integriti dengan kakitangan sektor awam diadakan.

Imej kaki tangan kerajaan tercalar berikutan pelbagai tanggapan dan sentiasa menjadi sasaran kritikan masyarakat apabila sering saja dikaitkan dengan budaya negatif seperti kerja lembap, tidak cekap, telus dan sesetengahnya terbabit rasuah.

Malah, sasaran itu turut terpalit sama di kalangan pemimpin politik. Baru-baru ini, Lembaga Disiplin Umno mengenakan larangan bertanding kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga calon Timbalan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno ke-59, apabila dikaitkan dengan rasuah.

Dalam laporan Tekad 2008 IIM, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa gembira dengan beberapa kejayaan yang dicapai dalam usaha membangunkan integriti di negara ini.

Namun, Perdana Menteri juga masih kurang berpuas hati kerana banyak yang perlu dilakukan berikutan persepsi masyarakat terhadap rasuah, masyarakat bermoral dan masyarakat berintegriti yang masih perlu diperjuangkan habis-habisan.

Justeru, fasa pertama Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilaksanakan sejak 2004-2008, untuk mencapai objektif mengurangkan gejala rasuah; penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan; meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian awam dan mengatasi kerenah birokrasi; tadbir urus korporat dan etika perniagaan; memantapkan institusi keluarga dan komuniti dan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat itu, perlu dijadikan agenda berterusan.

Presiden IIM, Datuk Mohd Tap Salleh, berkata sepanjang tempoh lima tahun itu pelan integriti mengajak individu dan masyarakat mewujudkan suasana persekitaran yang baik dan bebas, selain perlu mencetuskan perubahan baru dengan memperbaiki nilai tertentu.

Walaupun, ada yang sinis terhadap peranan PIN yang didakwa gagal berfungsi terhadap matlamatnya, beliau tetap optimis kerana menganggap ada kejayaan dicatatkan terutama dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Malah, impak kejayaan juga dapat dilihat dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diubah kepada SPRM. Ini pencapaian yang baik kerana apabila diadakan konvensyen integriti nasional 2007, antara 21 resolusi yang dibentangkan ialah supaya BPR diubah kepada suruhanjaya dan ia berlaku. Penubuhan SPRM diumumkan April 2008.

"Penanaman nilai seperti integriti tidak ada noktah serta garis penamat dan ia mesti berterusan. Bagi saya untuk masa depan, pelan itu mesti tercapai, jika tidak ia menjadi kelam kabut dan pudar. Kalau dilihat dari segi sejarah, empayar seperti Roman, jatuh dan hancur bukan sebab kekurangan bala tentera tetapi disebabkan nilainya yang rosak, iaitu integriti terhakis, pergaduhan sesama mereka merebut kuasa dan rasuah, menyalahguna kuasa yang ada.

"Kesultanan Melayu Melaka hancur juga bukan disebabkan kelemahan ketenteraannya, tetapi pergaduhan sesama sendiri, terhakisnya integriti dan amanah tidak dipupuk," katanya.

Mengupas mengenai rasuah, Mohd Tap menegaskan ia tetap ada kesannya termasuk jumlah aduan terhadap perlakuan rasuah meningkat dan ia sekali gus mempamerkan mengenai kesedaran masyarakat mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang perlu dibendung sehingga ke akar umbi.

Matlamat mencapai integriti itu turut mencakupi pelbagai golongan bukan saja tertakluk kepada penjawat awam, sebaliknya ditekankan kepada ahli politik.

"Seseorang yang ingin memimpin mereka mesti ada integriti yang tinggi. Mereka menjadi role model. Kita mahu melahirkan suasana persekitaran sihat dengan pengamalnya penuh sifat integriti iaitu tidak melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, amanah dan telus.

"Mereka, khususnya institusi perkhidmatan awam perlu bersedia meningkatkan ketelusan dan tanggungjawab. Pada masa sama mengadakan kerjasama rapat dengan pihak swasta bagi tujuan sama," katanya.

Mohd Tap berkata, pihaknya merancang memantapkan lagi program membudayakan integriti bermula pada peringkat usia muda kerana mereka adalah generasi baru yang bakal menjadi peneraju masyarakat pada masa depan.

Oleh itu, integriti akan menjadi salah satu subjek yang diajar di sekolah bagi menanamkan budaya terbaik kepada murid.

"Kita akan teruskan dengan memberi penekanan dalam subjek di sekolah dengan memasukkan elemen dari segi sejarah seperti diceritakan mengenai kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Bagaimana kerajaan pada ketika itu jatuh disebabkan tidak memiliki integriti, akhlak yang buruk dan mengamalkan rasuah.

"Ketika ini, perkara itu sedang dibincangkan dan akan dibentangkan kepada Kementerian Pelajaran untuk membolehkan aspek itu ditekankan dalam subjek terbabit," katanya.

- BERITA HARIAN Integriti mesti disemai di bangku sekolah

1 comment... add one now

D'Rimba D'Rimba Rabu, 8 April 2009 pada 11:22:00 PTG SGT
Integritila demokrasila liberalisasila macam-macam lagi nanti acuan barat diceduk dipakai nanti. Nilai Islam tu kenapala tak sibuknya.........Kan Islam menuju sempurna Allah janjikan.

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.