BN mungkin tidak tanding di Penanti - Najib


Buat julung kali dalam sejarah pilihan raya negara ini, Barisan Nasional (BN) sudah mula mengkaji langkah untuk menolak 'tawaran' bertanding pilihan raya kecil.

Lazimnya, BN akan menang tanpa bertanding kerusi pada hari penamaan calon pilihan raya umum, malah tidak pernah melepaskan peluang mencuba nasib pada pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Kali ini suasana agak berlainan.

Penanti salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membayangkan BN berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.

Jika ia menjadi kemungkinan apakah Pakatan Rakyat, yang akan menurunkan calon PKR, akan menang mudah tanpa bertanding?

Ataupun pertandingan tetap diadakan jika ada calon Bebas pula yang turun gelanggang.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihan raya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.

"Tak tahu lagi (sertai atau tidak) kita tengok dulu tapi saya tak ketepikan apa juga kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Meraikan Perdana Menteri peringkat Parlimen Pekan di Kuantan hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu.

"Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat MT akan datang, kalau tak sempat saya akan bawa kepada Biro Politik, dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN," kata beliau dipetik Bernama.

Banyak pihak mengesyorkan agar BN tidak meletakkan calon bersaing di Penanti atas beberapa alasan.

Ini termasuklah bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa. Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil termasuk penggunaan wang lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.

Malah syor yang sama pernah diutarakan ketika kerusi Permatang Pauh dikosongkan bagi membolehkan Anwar bertanding Ogos lalu.

Ketika itu syor agar Umno dan BN tidak meletakkan calon diutarakan oleh Pengerusi Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Kali ini, Najib berkata, BN akan sepakat berhubung pilihan raya kecil itu.

"Sebab kita perlu kuat kata sepakat, dalam hal ini jelas sekali ini satu mainan politik mereka (pembangkang), dengan tujuan mereka itu kita dapat mengesannya.

"Ini bukan sebab peruntukan Perlembagaan Negara, kalau disebabkan perlembagaan negara, kita tetap hormati," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu diadakan.

Najib menekankan bahawa pilihan raya kecil itu sepatutnya hanya diadakan apabila seseorang wakil rakyat itu meninggal dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti di Pulau Pinang ekroan keputusan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan kelmarin.

"Peletakan jawatan ini merupakan keputusan politik dan boleh disifatkan sebagai mainan politik untuk tujuan tertentu. Jadi rakyat pada umumnya tidak suka pilihan raya kecil yang sengaja diadakan," kata Najib.

Malah semalam, Najib juga berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan selain daripada kematian, sebab-sebab lain yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan ialah jika seseorang ADUN dan Ahli Parlimen itu diisytiharkan bankrap atau tidak berupaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya kerana faktor-faktor tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata meletak jawatan adalah bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.

Khamis lepas, Mohammad Fairus mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti.

Mohammad Fairus, 32, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata langkah beliau itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

- MSTAR

4 ulasan:

  1. Ini ke sifat seorang ketua?
    Mengalah sebelum berjuang.
    Lepas ni kalau Malaysia ada orang nak beli pun boleh dijual oleh PM baru kita ni.Padan muka aku dan hang pa juga le sebab jadi rakyat Malaysia.hahaha

    PM cam ni yang di katakan berwibawa oleh Tun DR.M.
    Mangkuk ayun betul.
    Tiada lagi pemimpin kita yang boleh jaga Malayia kalau camni le caranya.
    MAHU KEBENARAN

    BalasPadam
  2. Bagus gak kalau BN tak tanding, menghabiskan boras jo. Bagi aku, katakan apa saja asal korang senang hati. Akan tetapi ko tak sedar tepuk air di dulang terpercik muka sendiri.

    BalasPadam
  3. Bukan semua perkara yang harus diperdebatkan. Sebahagian perkara kena ikut sahaja. Mungkin pendekatan ini tidak popular, tetapi biarlah daripada menjadi minoriti populis yang menjahanamkan. Orang selalu melihat bertanding sebagai pilihan. Malahan ada individu yang seronok untuk bertanding dan melihat pertandingan sebagai cara untuk membalas dendam dan menghukum. Ingat masalah tidak berakhir di medan pertandingan dan pertandingan itu sendiri bukanlah menjadi titik untuk menamatan sesuatu. Kadang-kadang pertandingan akan lebih memudharatkan apabila masalah sedia ada akan menjadi semakin buruk selepas itu. Masalahnya hanya kerana orang sudah biasa dengan pertandingan. Mengapa tidak melihat tidak bertanding juga sebagai satu pilihan. Yang paling penting pilihan sama ada untuk bertanding atau tidak bertanding itu merupakan keputusan yang tepat.
    Jika keputusan tidak bertanding itu untuk kepentingan rakyat dan negara 1 Malaysia, maka kepentingan rakyat dan negara itulah yang wajib didahulukan. Apatah lagi melihat kepada situasi kemelut ekonomi negara yang berlaku akibat krisis ekonomi global, maka saya berpendapat tidak bertanding itu menjadi suatu keputusan yang tepat.Bukankah dengan cara itu kita telah mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Tidak bertanding mungkin menyinggung segelintir orang tetapi dalam keadaan negara dilanda krisis ekonomi dan wujud pula minoriti yang sangat memementingkan diri sendiri serta selalu mengambil kesempatan, percayalah keputusan tidak bertanding itu melegakan ramai rakyat yang memerlukan pembelaan kita.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.