Selasa, April 07, 2009

Analisis: Pengundi atas pagar penentu di Bukit Selambau

Hari ini sejumlah 35,140 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau akan menentukan siapakah wakil rakyat yang akan mewakili mereka sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2012. Sebahagian mereka sudah membulatkan tekad mempunyai calon yang difikirkan sesuai untuk dipangkah dan tidak kurang pula yang masih mencongak siapa calon terbaik untuk dipilih.

Biasanya pengundi yang sudah membuat keputusan sejak dari awal lagi adalah ahli parti politik dan sudah tentu akan menyokong calon yang diturunkan parti mereka. Kumpulan yang belum membuat keputusan dan mengambil sikap tunggu dan lihat sering kali dilihat sebagai pengundi atas pagar. Undi kumpulan ini sebenarnya amat penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon.

Pada fasa terakhir kempen sekarang, jentera kempen banyak tertumpu untuk menemui pengundi atas pagar bagi menarik sokongan mereka dengan menggunakan pelbagai pendekatan kerana kumpulan ini sering menunggu pada saat akhir bagi meyakinkan mereka.

Dalam konteks Bukit Selambau, seorang petugas strategik jentera Barisan Nasional (BN) ketika ditemui mengakui peranan pengundi atas pagar di kawasan ini yang dianggarkan sekitar 10 atau 15 peratus, lebih-lebih lagi dengan kehadiran 13 calon Bebas adalah amat penting.

"Disebabkan ramai calon Bebas bertanding kali ini, parti politik yang bertanding sudah pasti akan memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi atas pagar kerana jika tidak didekati mereka mungkin bertindak memangkah calon Bebas.

"Jika keadaan itu berlaku ia sekali gus menyebabkan undi semakin berpecah dan merugikan mereka.

"Dalam konteks Bukit Selambau, saya lihat BN dan Pakatan Rakyat (PR) giat meraih undi kumpulan berkenaan, selain meneruskan tumpuan kepada pengikut setia masing-masing," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau mencatat sejarah paling ramai individu memfailkan pencalonan bertanding, apabila 15 calon bertanding merebut satu kerusi. Situasi itu juga menjadikan banyak logo calon Bebas disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sebelum ini tidak diketahui kerana amat jarang digunakan mula dilihat di merata pelosok di Bukit Selambau.

BN meletakkan Timbalan Pengerusi MIC Kedah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Datuk S Ganesan, 49, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan usahawan yang juga calon baru dalam bidang politik, S Manikumar, 35. Sementara itu, 13 lagi calon Bebas yang memfailkan pencalonan ialah Abdul Rahim Abu, 49, (jam loceng); Husaini Yaacob, 44, (bas); Mej (B) Anuar Abd Hamid, 58, (telefon); Radzi Md Lazim, 54, (kerusi); Khamis Awang, 32, (ayam jantan); Mohd Fazil Wahab, 38, (kepala harimau); S Moganakumar, 43, (buku); M Vaneson, 34, (ikan); L Sarala, 33, (basikal); T Chandrarajan, 40, (kapal terbang); R Loganathan, 43, (kelapa sawit); Tan Hock Huat, 46, (kunci); dan A Jayagopal, 57, (payung).

Pemerhati politik juga berpendapat kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan memberikan sentuhan terakhir menerusi perjumpaan dengan masyarakat Cina dan bekas perajurit di Bukit Selambau pada petang ini turut mampu memberi kesan besar menarik pengaruh pengundi atas pagar.

Bagi Pengarah Jentera BN Pilihan Raya Bukit Selambau yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kesediaan Dr Mahathir turun padang selepas menyertai semula Umno turut memberikan suntikan moral baru kepada penyokong BN untuk memastikan kemenangan Ganesan, sekali gus merampas kembali DUN Bukit Selambau yang sebelum ini adalah kubu kuat BN.

Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali serta anak mereka, Datuk Mokhzani menyertai semula Umno kelmarin.

Namun, Pengarah Strategi Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution pula menafikan kehadiran bekas Presiden Umno itu mampu memberi impak negatif kepada nasib calon parti berkenaan.

"Kehadiran Dr Mahathir mungkin hanya mampu menarik sokongan ahli Umno dan BN saja, tiada kesan kepada sokongan rakyat kepada PKR," katanya.

Bagi Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pelantikan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak yang mengangkat sumpah jawatan Jumaat lalu mampu memberi kesan berganda terhadap sokongan yang diraih BN.

Beliau berpendapat tindakan berani Najib membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dua peguam Hindraf, iaitu V Ganabathirau, 40, dan R Khengadharan, 40, selepas sehari mengangkat sumpah turut memberi kesan dalam menarik sokongan masyarakat India di Bukit Selambau yang mempunyai 9,730 pengundi kaum itu atau lebih 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Dalam pada itu, seorang petugas MIC berpendapat kemenangan BN di Bukit Selambau amat penting bagi MIC kerana ia akan menjadi kayu pengukur sejauh mana parti yang ditolak oleh masyarakat India pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu diterima kembali oleh masyarakat berkenaan.

"Boleh kita katakan jika Ganesan menang nanti, masyarakat India sudah mula menerima MIC, tetapi jika tewas kita bimbang bagaimana mahu memulihkan keyakinan masyarakat itu selepas ini.

"Sejak turun berkempen kami dapati sokongan masyarakat India kepada MIC sudah mencecah antara 40 dan 45 peratus, berbanding hanya sekitar 20 peratus pada 2008," katanya.

Namun apa yang dikhuatiri petugas berkenaan ialah jika ramai pengundi terpengaruh dengan slogan ramai calon Bebas itu yang mengatakan mereka adalah alternatif terbaik jika tidak yakin dengan calon yang ditampilkan BN dan PKR. Beberapa calon Bebas sebelum ini dalam kempen mereka meminta pengundi menolak calon kedua-dua parti itu kerana BN dan PKR terlalu banyak politiking sehingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Sementara itu, beliau memberitahu pengaruh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak memberi impak kerana tiada isu besar yang mampu menarik perhatian orang ramai, terutama selepas beberapa kali Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menipu rakyat berhubung penubuhan Kerajaan Pusat oleh Pakatan Rakyat, 16 September 2008 yang tidak menjadi kenyataan.

Malah, malam kelmarin juga Anwar mempermain-main pengundi Bukit Selambau apabila membuat pengumuman untuk menangguhkan 'pendedahan tergempar' yang kononnya mampu menggugat kerajaan BN, kepada 7 April ini, iaitu selepas Pakatan Rakyat menang di ketiga-tiga pilihan raya kecil ini.

Mengambil kira lebih 50 peratus daripada pengundi Bukit Selambau adalah orang Melayu, kehadiran enam calon Bebas mewakili kaum itu menyebabkan petugas kedua-dua parti agak runsing kerana mereka tidak menolak kemungkinan faktor sentimen kaum akan menyebabkan pengundi Melayu memilih calon Melayu Bebas.

Sehubungan itu, kedua-dua parti kini bekerja keras mahu memastikan calon dan parti mereka mendapat undi sebanyak mungkin, sekali gus menang dengan selesa. Kesempatan terakhir yang hanya beberapa jam sebelum tamat tempoh berkempen tengah malam ini harus digunakan untuk meraih sokongan.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.