Analisis: Masih banyak perlu dibuat pikat hati rakyat

Oleh AHMAD ZAINI

Analisis Barisan Nasional (BN) menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu Bukit Gantang menyokongnya pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu kelmarin, berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lalu, tetapi undi Cina merosot.

Undi Melayu BN meningkat daripada 14,000 kepada 17,000, manakala undi Cina menurun daripada 3,500 kepada 1,500 saja. Pas pula mengakui undi Melayu susut daripada 47 peratus kepada 43 peratus, tetapi undi Cina meningkat 10 peratus kepada 75 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi kaum itu.

Ketua Umno Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussein berkata, peningkatan undi Melayu kerana BN menampilkan anak tempatan dan penambahan undi daripada mereka yang tinggal di pedalaman, kebanyakannya di DUN Trong yang juga kubu kuat BN. Namun, beliau tidak pasti punca kemerosotan pengundi Cina.

Justeru, faktor yang mendorong kemenangan Pas dikatakan berpunca daripada pengundi Cina yang lebih banyak memihak kepada parti itu. Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir juga mengakuinya dengan memberikan contoh BN hanya mendapat 15 peratus pengundi Cina di DUN Kuala Sepetang, berbanding 85 peratus memilih Pas.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas, Asmuni Awi pula memberikan alasan pengundi Melayu di pedalaman tidak mendapat banyak maklumat kerana analisis menunjukkan kemerosotan berlaku di luar bandar berbanding Melayu bandar yang memberi sokongan kepada parti itu.

Katanya, sokongan pengundi Cina membuktikan Pas yang tidak mengamalkan politik perkauman dan memperjuangkan kesamarataan mendapat sokongan daripada kaum itu.

Namun, kedua-dua pihak tidak menolak peningkatan mungkin berlaku kerana pertambahan bilangan pengundi dan jumlah yang keluar mengundi.

Bilangan pengundi pada pilihan raya umum lalu ialah 55,471 tetapi hanya 40,301 atau 72.65 keluar mengundi. Pas menerusi Allahyarham Roslan Shaharum mendapat 20,015 undi dan wakil BN, Datuk Abdul Azim Zabidi hanya 18,449 undi. Majoriti kemenangan Pas ialah sebanyak 1,566 undi, manakala baki 872 undi diperoleh calon Bebas dan 851 lagi undi rosak.

Kali ini jumlah pengundi 55,562 dan 41,626 atau 75 peratus daripadanya keluar mengundi. Calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, memperoleh 21,860 undi dan calon BN, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi. Sebanyak 456 undi rosak dan 62 lagi dimenangi calon Bebas.

Berdasarkan statistik itu, undi Pas bertambah sebanyak 1,845 berbanding BN hanya 622 undi. Majoriti Pas kali ini juga meningkat ketara sebanyak 1,223 undi kepada 2,789 undi daripada 1,566 tahun lalu. Berikutan itu, secara keseluruhan tanpa mengambil kira undi kaum Melayu atau Cina, Pas membuktikan peningkatan undi yang diterimanya lebih banyak berbanding BN.

Justeru, kajian yang perlu dilakukan kedua-dua parti ialah apa faktor sebenar menyebabkan mereka menang, pertambahan undi dan perbezaan majoriti. Mengapa sokongan pengundi Melayu dan Cina kepada Pas meningkat dan kenapa kaum Cina enggan memberi kemenangan kepada BN. Walau apa pun hasil kajian, keputusan kelmarin menunjukkan kecenderungan pengundian yang memihak kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu berlarutan sehingga pilihan raya kecil ini.

Persoalannya mengapa ini berlaku? Sebenarnya, banyak faktor yang boleh dikaji dan diselidiki bagi menjawab persoalan itu. Menurut Pas, faktor utama ialah pengambilan alih kuasa kerajaan negeri Perak oleh BN yang dianggap 'tidak sah' adalah antara isu utama menyebabkan parti itu menang. Seperti kata bekas Menteri Besar, Mohammad Nizar, rakyat Perak mahu menyampaikan mesej supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan dan rakyat diberi peluang membuat pilihan sekali lagi.

"Ini adalah pungutan suara meminta DUN Perak dibubarkan. Kita akan mendesak DUN dibubarkan segera dan biar rakyat Perak membuat pilihan semula," katanya yang sepanjang kempen 10 hari itu kelihatan sangat popular di kalangan pengundi.

Zambry pada sidang akhbar selepas keputusan diumumkan juga tidak menolak peningkatan majoriti Pas mungkin isyarat daripada rakyat Perak bahawa mereka kurang senang dengan cara BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak pada Februari lalu. Isu itu menjadikan Mohammad Nizar sangat popular sehingga dilihat sebagai ikon baru Pakatan Rakyat.

Isu pengambilan alih tampuk pemerintahan daripada Pakatan Rakyat di Perak yang diterajui DAP juga menjadi punca mengapa lebih ramai pengundi Cina memilih Pas. Mereka merasakan BN telah merampas kuasa secara tidak demokrasi daripada DAP dan membalas dendam di Bukit Gantang.

Justeru, jika benar keputusan ini mencerminkan kehendak rakyat supaya DUN Perak dibubarkan, maka bolehlah dikatakan slogan 'Mohon Restu Rakyat' lengkap dengan gambar Dr Zambry yang dipaparkan pada poster dan pemidang BN sepanjang kempen pilihan raya ini tidak berjaya. Adakah ia bermakna rakyat tidak merestuinya, sekali gus menyebabkan isu itu akan berpanjangan jika tidak diselesaikan menerusi pilihan raya mahupun mahkamah.

Selain krisis politik Perak, tiada isu tempatan lain yang besar menyebabkan BN tewas. Janji pembangunan dan keselesaan hidup tidak memberi kelebihan kepada BN. Walaupun pelbagai janji dan jaminan diberikan seperti menyelesaikan masalah tanah, setinggan dan bekalan air dengan peruntukan berjuta ringgit, majoriti pengundi tetap berpihak kepada pembangkang.

Isu nasional turut memainkan peranan. Pelbagai janji membawa perubahan dalam kerajaan dan Umno, pembasmian rasuah dan kerajaan yang lebih telus oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak dilihat belum mampu memikat hati pengundi. Mungkin mereka mahu melihat ia dilaksanakan terlebih dulu sebelum kembali menyokong BN.

Seperti kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, mungkin rakyat belum yakin dengan BN sehingga gagal mendapat majoriti mencukupi untuk menang dan masih terlalu awal untuk rakyat menerima perubahan yang mahu dibawa oleh Najib.

"Mungkin faktor 'feel good' peralihan kuasa dengan kepemimpinan baru Najib masih baru dan belum menyerap pada hati rakyat, khususnya pengundi," katanya yang turut merujuk kepada kekalahan BN di DUN Bukit Selambau kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setelah tsunami politik pada pilihan raya umum lalu, diikuti 'anak' tsunami di Permatang Pauh serta Kuala Terengganu dan terbaru di Bukit Gantang serta Bukit Selambau, banyak yang perlu dilakukan oleh BN jika tidak mahu gelombang perubahan terus menenggelamkannya dan membuahkan era politik baru negara.

Bukan saja kecenderungan pengundi muda yang kini memihak kepada Pakatan Rakyat perlu diberi perhatian, malah golongan tua sendiri pun sudah ada yang beralih angin seperti yang ditunjukkan di Bukit Gantang.

Kumpulan yang menjadikan internet dan media baru sebagai sumber maklumat dalam membuat pilihan juga perlu diberikan perhatian. BN, seperti pembangkang juga perlu menggunakan media berkenaan untuk menyebarkan maklumat, selain mencari idea baru untuk berkempen jika tidak mahu terus ketinggalan.

Keputusan pilihan raya kecil kali ini sebenarnya menggambarkan penolakan kepada politik lama dan rakyat mahu pemain politik baru. Seperti yang dikatakan oleh ramai penganalisis politik, rakyat sebenarnya bukan suka kepada pembangkang, sebaliknya mereka menolak Umno dan BN.

Justeru, banyak yang perlu dilakukan BN dan Umno atau tsunami politik akan melanda pula di Bukit Lanjan di Selangor dan Penanti di Pulau Pinang jika pilihan raya diadakan atau lebih perit, tsunami besar akan melanda politik negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Atau lebih merumitkan, Najib sekali lagi perlu memohon restu rakyat seperti di Bukit Gantang.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.