Sabtu, Mac 14, 2009

UUM IPTA terbaik pengurusan sumber

Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul universiti terbaik dari segi kemampuan mengurus menggunakan sumber sendiri berbanding institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan, berkata 25 peratus perbelanjaan mengurus universiti itu dibiayai menerusi sumber kewangan dalaman berbanding universiti lain hanya 12 peratus.

Katanya, kementerian meletakkan sasaran 30 peratus perbelanjaan mengurus semua IPTA dijana sendiri universiti, manakala 70 peratus lagi dibiayai kerajaan menjelang 2020.

“Sehingga kini UUM mencatatkan kedudukan terbaik dalam membiayai perbelanjaan mengurus menerusi sumber yang diperoleh seperti ditetapkan kementerian.

“IPTA perlu meningkatkan keupayaan menjana pendapatan sendiri termasuk menerusi pengkomersialan hasil penyelidikan bagi meningkatkan dana.

“Kerajaan akan mengurangkan peruntukan perbelanjaan pembangunan dan mengurus kepada semua IPTA pada masa depan,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan UUM, di Sintok, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UUM, Prof Dr Razak Chik.

Zulkefli berkata, keupayaan universiti itu menjana pendapatan sendiri dengan memanfaatkan kepakaran anak syarikat universiti, iaitu SerindIT.Com dalam bidang teknologi maklumat disokong Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, kejayaan meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa turut menyumbang pendapatan universiti itu.

“Perangkaan Pengajian Tinggi Malaysia 2007 menunjukkan enrolmen pelajar antarabangsa UUM pada 2002 hanya 225, meningkat 627 (2005), dan 2,178 (2007), sekali gus mencapai kuota lima peratus di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Zulkefli turut melawat tapak projek tambahan pembangunan UUM bernilai RM229 juta yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Antaranya, bangunan perpustakaan, akademik, dewan kuliah, pusat Islam, pusat kegiatan pelajar dan medan selera.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts