Isnin, Mac 16, 2009

Tinjauan Blog - Antara penulis blog yang emosi dan beretika

Dakwaan ke atas penulis dan komentar kerana menghina menghina Sultan Perak menjadi perbualan hangat di kalangan penulis blog ketika ini.

Tidak kurang juga dibahaskan penulis ialah tentang cadangan pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pas yang dicetuskan oleh pimpinan Pas.

Datuk A. Kadir Jasin menerusi blognya, kadirjasin.blogspot.com pada 14 Mac mengulas bahawa peringatan kepada penulis dan pembahas telah sering kali diutarakan oleh beliau.

Tetapi katanya, nasihat seperti itu bukanlah mudah diterima kerana ramai penulis, pembahas dan pembaca percaya bahawa blog adalah bebas dan tidak ada siapa yang boleh bertindak ke atas mereka.

"Elok jugalah pembahas seperti itu diadili oleh mahkamah atau tidak lagi mengambil bahagian di ruang demokratik ini.

"Bagi saya, ini adalah perkembangan yang positif dan akan menjadikan komuniti penulis blog lebih bertanggungjawab dan dihormati,'' tulis beliau.

Katanya, adalah lebih baik jika penulis blog diawasi oleh masyarakat dan diadili oleh mahkamah daripada dikawal dan diadili oleh cawangan eksekutif dan perkhidmatan awam.

Sementara itu Mohamed Zakhir Mohamed (bigdogdotcom.wordpress.com) pada 14 Mac menyentuh tentang cadangan pembentukan kerajaan campuran sebagai langkah awal Pas untuk kembali bergabung dengan UMNO.

Ini dapat dibuktikan apabila reaksi cepat oleh pucuk pimpinan Pas terhadap cadangan kerajaan campuran itu yang dianggap sebagai alasan yang beralas.

"Kerajaan Perpaduan yang dibayangkan Presiden Pas ini merupakan perkara yang BN berjaya dukung sejak merdeka.

"Orang Melayu bersedia untuk 'berkongsi kuasa' dengan bukan Melayu, agar kepentingan dan suara semua kumpulan etnik dilibatkan secara kolektif dalam setiap dasar dan keputusan kerajaan.

"Kerjasama ini merupakan formula kejayaan Malaysia sebagai negara pelbagai etnik dan fahaman kepercayaan tinggal dalam harmoni dan kemajuan dipacu dengan pesat, sehingga tahap ini,'' tulisnya.

Namun begitu jelas beliau, DAP secara spontan telah menolak keras cadangan Presiden Pas itu yang pernah satu ketika dahulu menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

"Kembalinya Pas ke dalam BN dan pengukuhan kuasa politik dan penggubal dasar di tangan kepimpinan Melayu merupakan keadaan sirih pulang ke gagang," tulisnya.

Penulis Abdul Mubin Ismail (jaranganakmelayu.blogspot.com) pada 15 Mac pula menyentuh tindakan merobohkan plak peringatan yang dibina oleh pembangkang di bawah sebatang pokok.

Katanya, lanjutan daripada tindakan itu maka ramai yang melepaskan perasaan, marah-marah dan melemparkan pelbagai tuduhan sehingga mereka yang bertindak demikian dilabelkan sebagai pengkhianat dan bersifat binatang.

"Kadang-kadang manusia ini lebih pelik daripada benda-benda pelik. Tidak ada salahnya kalau benda buatan manusia itu tidak diambil peduli pun.

"Lebih manis dan berdemokrasi kalau plak itu dipelihara seperti ramai orang memagari benda yang hampir serupa di tempat-tempat kenangan lain, termasuk tanah perkuburan.

"Cuma jangan jadi benda yang dipuja untuk mendapatkan keuntungan yang syirik. Jangan sampai orang menuduh, dah tak ada kerja ke?'' tulisnya.

Nizam Mat Saari (nizammatsaari.com) pada 14 Mac pula menyentuh tentang demonstrasi dan hasilnya.

Tulisnya, demonstrasi dianggap baik dan positif jika apa yang diperjuang itu menyebelahi kita manakala ia dianggap buruk dan negatif jika apa perkara tersebut bersifat menentang.

Katanya, walaupun demonstrasi itu ada halal dan haram tetapi memorandum belum lagi ada yang mengharamkan atau menghalalkannya.

"Mungkin kerana memorandum hanya memo sahaja dan memo tidak mampu berucap berapi-api dan bersorak-sorai menjerit kecaman dan ancaman,'' tulisnya.

Katanya lagi, apa yang menjadi persoalan ialah apakah kesudahan kepada memorandum mengenai isu demonstrasi.

"Atau demonstrasi dan memorandum itu tidak lebih hanya sebagai satu aktiviti parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan sahaja?'' tulisnya.

- UTUSAN
www.utusan.com.my
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts