Isnin, Mac 02, 2009

Nik Aziz saran bukan Islam dibenar guna perkataan Allah

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan orang bukan Islam di negara ini dibenarkan menggunakan perkataan Allah.

Beliau mendakwa keadaan itu bersandarkan kepada penggunaan perkataan Allah berlaku sejak zaman berzaman lagi, malah dalam al-Quran juga disebut perkara itu.

"Perkataan Allah bukannya benda baru disebut oleh orang kafir, sejak berzaman lagi. Orang kafir boleh guna perkataan Allah tetapi ada orang marah (penggunaannya).

"Bagaimanapun, saya tidak mahu campur tangan dalam hal ini, serahkan kepada orang itu (Kerajaan Pusat). Pas tidak suka timbul benda itu," katanya selepas merasmikan Wisma Al-Quds, di sini, semalam.

Beliau memberitahu pemberita demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin yang membatalkan serta-merta pewartaan perintah yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan agama Kristian.

Nik Abdul Aziz berkata, dulu timbul isu berkaitan terjemahan perkataan god kepada Allah yang tidak tepat.

"God kalau diterjemahkan kepada Allah memang tidak betul kerana god bukan Allah, ia bermakna Tuhan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penggunaannya kepada orang bukan Islam katanya, dalam al-Quran sendiri ada menceritakan bahawa orang bukan Islam telah menggunakan perkataan Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi.

"Pada zaman nabi, walaupun golongan ini menyembah berhala sekalipun tetapi jika ditanya siapakah pencipta langit dan bumi mereka tetap mengakui Allah yang menciptanya.

"Jadi ertinya perkataan Allah ini bukan benda baru yang disebut oleh orang bukan Islam," katanya.

- BERITA HARIAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts