Ahad, Mac 01, 2009

Dimensi baru siaran Hypp.TV


Rangkaian televisyen interaktif dalam talian pertama di Malaysia, Hypp.TV yang bakal dilancarkan secara rasmi bulan ini kini bersedia untuk bersaing dengan stesen TV sedia ada.

Dengan menawarkan lebih 40 saluran televisyen antarabangsa, stesen muda ini berhasrat menambah lagi ribuan saluran baru dari seluruh dunia pada masa depan.

Paling menarik, saluran jalur lebar TV protokol Internet (IPTV) itu sudah ada lebih 50,000 pengguna termasuk dari serata dunia apabila dipancarkan secara percubaan Julai tahun lalu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif SyQic Capital, Jamal Hassim, perkhidmatan Hypp.TV yang disediakan TM Net Sdn. Bhd. ialah platform hiburan dan informasi interaktif unik.

“Ia memberi pengalaman baru kepada penonton. Kemudahan TV melalui komputer kini terdapat di Malaysia dan juga di peringkat global,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Jamal bukan orang baru dalam dunia penyiaran. Pernah bertugas dengan agensi pengiklanan antarabangsa sebelum ke Astro, beliau ialah perintis ntv7 dan Channel 9 (kini TV9).


Belajar daripada pengalaman sebagai Ketua Pegawai Operasi MediaCorp milik kerajaan Singapura yang memiliki tujuh saluran TV, Jamal nyata optimis dengan Hypp.TV.

Di republik kecil itu, perkhidmatan IPTV mereka jauh lebih maju setelah dilancarkan pada 2007 dengan dikenali sebagai SingTel mio TV. Ia menawarkan lebih 30 saluran.

Ini memberi ilham kepadanya memilih medium IPTV atau juga disebut TV jalur lebar yang meluas di banyak negara maju kerana memiliki kelebihan berbanding kaedah konvensional secara antena tetulang bagi sistem teresterial dan cakera parabola untuk sistem TV satelit.

Pada Mei tahun lalu, Jamal berbangga kerana syarikatnya di bawah jenama Yoonic.TV dipilih pihak TM Net bagi membekalkan teknologi dan kandungan siaran untuk Hypp.TV.

Bagi tujuan itu, ribuan program daripada pelbagai genre dari segenap pelosok dunia bakal ditawarkan. Ini menjadikan Hypp.TV platform medium gaya hidup pengguna yang boleh berhibur, mendapat informasi, bersosial, berkomunikasi, mencari rakan, membeli-belah dan melakukan pelbagai perkara lagi.

“Kami komited memberikan kandungan baru melalui saluran-saluran yang baru dari semasa ke semasa. Paling menarik program akan diwujudkan oleh pengguna melalui saluran baru berbeza dengan saluran TV yang sedia ada.

“Menonton dan berinteraksi dengan kandungan yang ditawarkan kini boleh dibuat bukan hanya di rumah tetapi di mana saja yang ada sambungan Internet. Malah dengan kualiti siaran langsung, TV ini dapat ditonton melalui komputer,” kata Jamal.

- KOSMO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts