Isnin, Mac 23, 2009

Bukit Gantang - Penentu survival UMNO


Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

Ketika ditemui calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Ismail Safian, menyatakan keyakinannya bahawa 'angin' perubahan telah mula bertiup di kawasan tersebut.

Tentunya harapan BN untuk menawan kembali kerusi yang hilang dalam tempoh 11 bulan kepada parti pembangkang apabila menang pada pilihan raya umum lalu menguatkan lagi semangatnya untuk bekerja bersungguh-sungguh.

Safian, 49, lulusan Universiti Sains Malaysia, merupakan seorang bekas guru sebelum dilantik menjadi Setiausaha Majlis di tiga kawasan iaitu Majlis Daerah Kerian (1988), Majlis Perbandaran Manjung (1998) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (2008).

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah, Pengarah Sumber Manusia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara.

Penglibatannya dalam politik bermula sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Kampung Kubu pada tahun 1984. Atas dasar kepercayaan, mendorong beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bukit Gantang pada 1989 seterusnya Setiausaha UMNO Bahagian pada tahun 1998.

Beliau juga adalah bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang sejak 2004 namun terpaksa melepaskan jawatan itu setelah mengambil keputusan bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian pada pemilihan lalu.

Dalam pertandingan tersebut, Safian tewas kepada Datuk Rosli Husin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong adalah salah satu daripada tiga kawasan DUN yang membentuk Parlimen Bukit Gantang. Dua lagi ialah Changkat Jering (kini diwakili Bebas) dan Kuala Sepetang (Parti Keadilan Rakyat).

Sekarang, beliau hanya Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kampung Kubu.

Ketiadaan jawatan penting dalam bahagian, tidak menghalang Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Safian adalah calon anak tempatan yang akan membawa suara dan mandat BN dalam pertandingan menentang calon Pas.

Jika BN telah bertindak membuka laluan membuat pengumuman calonnya awal-awal lagi, Pas yang merupakan penyandang kerusi tersebut dikatakan hanya bersedia mengisytiharkan calon mereka hari ini (Isnin, 23 Mac).

Bagi Safian, siapa pun calon yang akan diketengahkan oleh parti bersimbolkan bulan mengambang itu bukan menjadi persoalan paling pokok.

''Saya tidak risau tentang calon mereka (pembangkang) tetapi lebih risau tentang kerja-kerja kita kerana masa semakin suntuk," jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon kerusi tersebut ialah pada 29 Mac dan hari pengundian jatuh pada 7 April ini.

Dalam masa sama, UMNO akan menghadapi pemilihan pimpinan peringkat tertinggi sempena Perhimpunan Agung parti itu pada 24 hingga 28 Mac ini.

Hakikatnya kedua-dua 'acara' yang bakal berlangsung ini - pilihan raya kecil Bukit Gantang yang mengenengahkan calon UMNO dan pemilihan parti yang akan bermula Selasa ini, amat penting kepada masa depan UMNO.

Namun di sebalik keadaan itu, seperti yang ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam, bahawa kemenangan dalam parti sahaja tidak memadai jika UMNO tewas dalam pilihan raya, seharusnya diberi perhatian.

Benar, kata Najib, mereka yang memenangi jawatan parti tidak bermakna sudah dianggap menjadi juara. Kerana, apakah makna kemenangan tersebut jika suara pemimpin Melayu selepas ini tidak dipedulikan lagi?

Masa depan orang Melayu yang merupakan masyarakat majoriti Malaysia bergantung kepada kredibiliti, pemikiran dan wawasan para pemimpinnya.

Tanpa ketiga-tiga faktor ini, sukar untuk orang Melayu terus menaruh harapan kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Pemikiran masyarakat telah berubah. Untuk terus dilihat relevan, kalangan pemimpin juga harus segera berubah.

''Jawatan bukanlah titik akhir perjuangan seseorang dalam parti. Jawatan hanya sebagai wahana sahaja. Tidak guna ada jawatan dalam parti jika parti lemah," tegas Najib.

Seperti disebut, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang hanya akan berlangsung dalam tempoh kira-kira dua minggu sahaja lagi.

Bermakna, UMNO bakal berdepan dengan satu lagi peluang selepas beberapa pilihan raya kecil sebelum ini menyaksikan mereka tewas kepada lawan.

Bagi kebanyakan penganalisis tempatan, keputusan pilihan raya kecil kali ini amat penting kerana ia juga secara tidak langsung akan memberi implikasi besar kepada soal survival dan masa depan UMNO.

Walaupun berhadapan dengan tugas besar, masih terdengar suara-suara belakang di kalangan pemimpin bahagian sendiri yang mempertikaikan kedudukan Ismail sebagai calon yang diangkat oleh pucuk pimpinan parti.

Antara rungutan mereka ialah, Ismail bukan antara pemimpin bahagian, biar pun bekas guru ini tidak asing di kalangan kebanyakan ahli dan pengundi.

Hakikatnya, jika begini senario yang berlaku, maka kesimpulan paling mudah - UMNO tidak pernah mahu belajar daripada kesilapan-kesilapan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.