Perokok habiskan RM8.59 juta setiap hari

Sebanyak RM8.59 juta dihabiskan oleh kira-kira 2.73 juta rakyat negara setiap hari untuk membeli rokok dan angka itu bersamaan dengan kos untuk membina sebuah klinik kesihatan.

Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah Zain berkata, angka itu sebenarnya lebih tinggi kerana kos sebatang rokok untuk kajian yang dijalankan berharga 26 sen saja.

"Bayangkan rakyat negara ini menghabiskan lebih RM8 juta setiap hari semata-mata untuk membeli rokok. Pembaziran ini disebabkan kesedaran yang masih rendah di kalangan masyarakat tentang keburukan merokok.

"Kementerian telah membuat kempen dan turun padang untuk menerangkan bahaya rokok selain pembaziran yang 'sengaja' daripada perokok itu sendiri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Zarihah, hasil tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan pada 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus).

"Bilangan perokok juga lebih tinggi di bandar yang berjumlah 1.56 juta (57.1 peratus) sementara 1.17 juta perokok lagi dari kawasan luar bandar (42.9 peratus)," ujarnya.

Tambah Zarihah, kaum Melayu pula merupakan perokok paling ramai, berjumlah 1.66 juta (60.9 peratus) sementara kaum India paling sedikit dengan jumlah 150,000 perokok sahaja (5.5 peratus).

Jelasnya, rakyat negara ini membeli 33 batang rokok setiap hari dan angka ini dilihat terlalu tinggi untuk kepadatan penduduk berjumlah kira-kira 27 juta orang.

"Rakyat negara ini membeli terlalu banyak rokok dan angka itu menyumbang kepada pelbagai penyakit susulan yang membawa maut," ujarnya.

Ketika ditanya tentang kempen rokok yang dikatakan menemui kegagalan, Zarihah menjelaskan:

"Sana-sini orang memperkatakan mengenai kegagalan kempen yang menelan belanja hampir RM20 juta itu kerana penjimatan yang kita perolehi sebenarnya melebihi RM494 juta.

"Kita berjaya menjimatkan perbelanjaan perokok hampir 200 peratus. Jadi tiada istilah gagal dalam kempen itu sebenarnya."

Katanya, Kempen 'Tak Nak' yang dilancarkan pada 2004 telah berjaya menjadikan 61.3 peratus perokok bercadang untuk berhenti.

"Kita berjaya menjadikan peratusan untuk mahu berhenti merokok tinggi dan menurunkan jumlah keseluruhannya," katanya.

Beliau turut mendedahkan merokok menyumbang risiko kepada hampir 25 jenis penyakit kanser termasuk kanser paru-paru, tekak, mulut, pankreas, pundi kencing, buah pinggang dan rahim.

"Selain itu, ia juga menyebabkan penyakit jantung, penyempitan saluran darah, angin ahmar, ulser, bronkitis kronik dan penyakit asma menjadi bertambah serius," tegasnya

Tambahnya, 90 peratus daripada semua kes kanser mulut dan tekak, perut, pundi kencing, pankreas dan ginjal berpunca daripada tabiat merokok.

Begitu juga dengan 75 peratus penyakit saluran pernafasan kronik dan 25 peratus penyakit jantung koronari.

Hasil kajian juga mendapati lebih 25 peratus daripada perokok meninggal dunia akibat penyakit yang berkaitan dengan rokok.

Tegasnya, imej kotak rokok yang akan memaparkan akibat buruk merokok seperti jantung hitam, akan menjadi pendorong kepada perokok supaya segera berhenti menghisap rokok.

"Kita akan paparkan enam gambar paling menakutkan di kotak rokok akibat menghisap rokok tidak lama lagi.

"Jika mereka masih tidak sedar dan tetap membeli rokok, kita simpulkan sahaja mereka ini seolah-olah sengaja menempah maut untuk diri sendiri," ujarnya.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.