Khamis, Februari 05, 2009

Komentar - Kekecohan isu tabika Kemas rugikan orang Melayu

Pulau Pinang nampaknya mengikut tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat -- Perak dan Selangor yang mengunci premis tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Kelmarin, seramai 22 kanak-kanak Tabika Perpaduan Kemas Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang terpaksa belajar di bawah panas terik matahari beralas tikar mengkuang selama lebih dua jam ekoran pintu pagar tabika berkenaan dirantai dan dimangga.

Kebanyakan kejadian mengunci tabika Kemas berpunca daripada tindakan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Kita hairan mengapa setiap kali berlaku perubahan dalam pentabdiran kerajaan negeri, maka tabika Kemas menjadi sasaran supaya ditutup atau berpindah ke tempat lain. Insiden ini pernah berlaku semasa Pas memerintah Terengganu 1999-2004.

Perbuatan JKKK itu boleh dianggap sudah melampau tanpa memikirkan latar belakang kanak-kanak dan keluarga miskin. Dalam kes di Pulau Pinang itu, kebanyakan kanak-kanak tabika terdiri daripada keluarga nelayan.

Lebih menyedihkan kita ialah majoriti kanak-kanak tabika yang terlibat ialah anak Melayu. Mereka yang mahu menutup tabika itu juga orang Melayu.

Kenapa masa depan anak-anak mahu diperjudikan semata-mata kerana agenda politik. Kalau JKKK bimbang dakyah politik disebarkan kepada kanak-kanak, sebenarnya banyak juga antara mereka yang lahir dari institusi tabika itu kini adalah penyokong parti pembangkang. Jadi apa dosa dan kesalahan sebenar tabika Kemas?

Ratusan ribu anak kecil yang menagih ilmu prasekolah tidak patut menjadi mangsa politik sempit. Di manakah janji-janji kerajaan pakatan pembangkang yang selama ini memperjuangkan konsep negara kebajikan.

Pendidikan prasekolah tabika Kemas tidak perlu dipolitikkan oleh pakatan pembangkang kerana ia melibatkan masa depan anak-anak Melayu yang menjadi tunjang pembangunan modal insan dan negara.

Ahli politik, pegawai kerajaan dan JKKK perlu bertindak matang. Usah takut pada bayang-bayang sendiri hingga sanggup mempermainkan masa depan anak-anak golongan berpendapatan rendah dengan mengganggu hak mereka untuk mendapat pendidikan.

Jika JKKK menganggap balai raya dan dewan orang ramai adalah milik kerajaan negeri kerana ia dibina di atas tanah kerajaan negeri, tuntutlah bayaran sewa. Daripada bayaran itu mungkin boleh membiayai pembinaan bangunan yang lain untuk kegunaan awam.

Pendekatan membantu rakyat oleh BN dan pakatan pembangkang sungguh berbeza. Selama ini kita belum pernah mendengar tindakan Kerajaan Pusat menghalang anak-anak ahli Pas, DAP dan PKR daripada belajar di sekolah-sekolah kerajaan.

Malah tidak pernah kita membaca laporan tentang penyokong parti pembangkang dihalang daripada mendapatkan rawatan di hospital yang dibina oleh Kerajaan Pusat.

Kita juga hairan, cerita perebutan penggunaan dewan orang ramai tidak pula berlaku di kalangan masyarakat kaum lain. Masalah ini berlaku kerana sikap berpolitik di kalangan orang Melayu sendiri yang emosional, berdendam dan tidak profesional.

Demi perpaduan penduduk setempat dan untuk memastikan tabika Kemas tidak menjadi bahan politik mana-mana pihak apabila berlaku perubahan kepimpinan kerajaan negeri, maka kita cadangkan perlu digubal undang-undang atau enakmen supaya premis institusi itu tidak diceroboh atau diganggu gugat lagi pada masa akan datang.

Perkara ini perlu difikirkan dengan serius oleh semua pemimpin kerajaan negeri, baik di bawah Barisan Nasional atau pakatan pembangkang.

Langkah itu perlu bagi mengelakkan berlakunya perpecahan yang merugikan orang Melayu.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts