Khamis, Februari 12, 2009

Kementerian Pelajaran tidak dedah kemerosotan Matematik dan Sains?

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal dengan tindakan Kementerian Pelajaran tidak mendedahkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) yang menunjukkan kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains.

Setiausaha Agung PKPIM Khairul Anwar Shazali mendakwa hasil kajian anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) itu juga mendapati majoriti negara yang menduduki tangga teratas dalam kajian itu menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.

"Laporan TIMSS 2007 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu seharusnya menjadi kayu ukur letak duduk pelajar Malaysia di arena antarabangsa. Ia turut menggambarkan betapa program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah merudumkan prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains," katanya dalam satu kenyataan di sini.

TIMSS 2007 adalah kajian perbandingan antarabangsa yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik dan Malaysia telah terlibat di dalam kajian ini sebanyak tiga kitaran iaitu pada 1998 hingga 2000, 2001 hingga 2004 dan 2005 hingga 2008.

Seramai 4,466 pelajar Tingkatan Dua, 150 guru Matematik dan 150 guru Sains yang mengajar pelajar Tingkatan Dua daripada 150 sekolah seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kajian itu.

"Perlu diberi perhatian bahawa murid Tingkatan Dua yang menjadi responden kajian ini adalah generasi pelajar Malaysia yang melalui program PPSMI, jadi dapatan TIMSS 2007 ini turut memberi gambaran akan keberkesanan PPSMI," kata Khairul Anwar.

Beliau berkata kedudukan Malaysia daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007 bagi mata pelajaran Matematik berbanding 46 buah negara dalam TIMSS 2003, telah merosot daripada kedudukan tempat ke-10 kepada tempat yang ke-20.

"Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik ialah 474 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500. Skor ini juga telah merosot sebanyak 34 mata pada 2007 berbanding 508 pada TIMSS 2003.

"Negara-negara yang mempunyai skor purata yang lebih tinggi dan perbezaanya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah China Taipei (598), Korea (597), Singapura (593), Hong Kong (572), Jepun (570), Hungary (517) dan Rusia (512)," katanya.

Katanya kedudukan Malaysia bagi mata pelajaran Sains juga telah merosot daripada kedudukan tempat ke-20 (TIMSS 2003) kepada tempat ke-21 pada TIMSS 2007.

"Skor purata Malaysia (Sains) juga telah merosot sebanyak 29 kepada 471 (TIMSS 2007) berbanding Singapura (567), China Taipei (561), Jepun (554), Korea (553), England (542), Hungary (539), Australia (515) dan Sweden (511)," katanya.

Khairul Anwar juga mengulangi pendirian PKPIM yang menolak dan membantah pelaksanaan PPSMI

- BERNAMA

2 ulasan:

  1. rumah siap,pahat berbunyi..kenape diawal penubuhannya,xterus bantah pelaksanaan PPSMI? prof diraja ungku aziz da lame da ckp yg PPSMI ini xperlu dilaksanakan di malaysia.. kenapa kementrian degil? ini permasalahannye wahai en, adha.. mungkin ade komisyen2 tertentu bila laksanakan PPSMI? utk pgetahuan en. adha, di sekolah mama saya, ada juga yg dapat mengikuti rentak PPSMI..kita perlu ucapkan tahniah ..ini bukan masalah PPSMI jugak sebenarnya,saya rasa lah..hehe atas penerimaan pelajar tersebut..jika pelajar itu sudah mind set,subjek ni susah,maka susah la sesusah2nya.. maka,pelaksanaan PPSMI ni ada pros n cons nya.. cuma,bagaimana penerimaan kita terhadap PPSMI itu sendiri.. sekian,wassalam..

    BalasPadam
  2. kesian pelajar sekarang, kalau dah tak pandai BI, dengan sains dan matematik lingkup skali.

    tak patut..kejam..........
    entah2 dapat duit beli buku text,,,lebih masuk poket...tu yg nak sgt tukar. belum ada yg kerajaan buat betul2 kerana rakyat, semuanya kerana duit......!!!!!!!!!

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts