Selasa, Februari 03, 2009

Empat tanda amaran suami perlu diawasi

Setiap wanita pasti mahu terus beranggapan bahawa suami mereka adalah yang terbaik. Apatah lagi dengan seluruh kasih sayang yang dicurahkan sejak mendirikan rumah tangga dan perasaan tersebut semakin kukuh hari demi hari.

Bagaimanapun, jika akhir-akhir ini anda mula merasakan bagai ada kerenggangan dalam hubungan sebagai suami isteri, mungkin inilah masanya untuk mengetahui sama ada pasangan anda sudah mula menipu atau tidak.

Mungkin anda mahu menyedapkan hati sendiri dengan mengatakan suami dibebani dengan kerja yang banyak, namun sejauh mana anda mampu 'menipu' diri sendiri. Jauh di sudut hati merasakan 'ada sesuatu' yang luar biasa telah berlaku, sesuatu yang mengancam keharmonian hubungan anda berdua.

Anda mungkin tidak mampu untuk menyuarakan perkara ini pada suami malah anda sendiri juga kalau boleh tidak mahu memikirkan tentangnya.

Persoalannya, benarkah suami telah menipu anda? Tanyalah mana-mana wanita di dunia ini pasti mereka tidak boleh berkompromi dengan pasangan yang menipu. Apatah lagi apabila hubungan itu telah diikat dengan simpul perkahwinan yang sepatutnya dipelihara dengan kejujuran dan kepercayaan yang didokong oleh kedua pihak sama ada suami mahupun isteri.

Frasa intuisi wanita mungkin antara bahan gurauan yang selalu digunakan, namun ia bukan lagi suatu perkara yang boleh diterima jika ia berkaitan dengan tingkah laku buruk suami.

Bergantung pada perasaan atau naluri yang kuat sahaja memang tidak mencukupi. Sebaiknya anda sebagai isteri perlu memastikan sendiri kebenaran tersebut. Persoalannya, benarkah suami anda tidak setia? Maka sebab itulah anda sebagai isteri perlu mempunyai ilmu mahupun mempelajari cara-cara untuk mengetahui sama ada suami anda menipu atau tidak.

Katakanlah jika ia benar-benar berlaku (suami menipu), anda sebagai isteri perlulah membuat keputusan sama ada untuk menyelamatkan perkahwinan tersebut atau meneruskan cara hidup masing-masing secara bersendiri (berpisah).

Ada beberapa petanda yang boleh anda kesan sama ada si dia menipu. Mungkin beberapa helah yang dia gunakan kali ini tidak akan dapat membantu menyelamatkan dirinya dengan adanya empat petanda di bawah

1. Suami tidak lagi memakai cincin perkahwinan

Tiba-tiba anda baru perasan cincin perkahwinan yang sebelum ini dipakainya setiap masa sudah tiada di jari. Apa lagi, cuba tanya dia mengapa dia tidak memakainya. Mungkin dia akan jawab dengan pelbagai alasan seperti hilang atau lupa letak di mana. Kalau betul suami anda lupa di mana dia simpan atau lupa nak pakai cincin tersebut, pastikan apabila terjumpa semula, dia akan terus memakainya. Tindakan tidak memakai cincin tersebut mungkin satu petanda suami anda untuk memberitahu wanita di luar sana bahawa dia belum berkahwin.

2. Suami tiba-tiba menjadi cerewet tentang keadaan keretanya

Selama ini dia tidak pernah kisahkan keadaan keretanya. Namun, tiba-tiba dia menjadi cerewet dari segenap aspek terutama yang melibatkan kebersihan dan kecantikan keretanya.

Setiap hari sebelum bertolak ke pejabat, dia akan memastikan mainan, buku pelajaran anak atau kasut isteri yang bersepah dikeluarkan dari kereta.

Malah apa saja yang melibatkan tanda bahawa kenderaan itu ialah 'kereta keluarga' mesti dikeluarkan atau disorok ke dalam bonet kereta. Mungkinkah kerana dia mahu membawa kekasih baru di dalam kereta tersebut? Hmm... siapa tahu?

3. Kerap balik lewat dari pejabat

Dulu suami anda adalah seorang pekerja yang datang ke pejabat tepat jam 9 pagi dan pulang ke rumah pukul 5 petang setiap hari. Namun, sejak kebelakangan ini, ada sedikit perubahan.

Dia telah mula balik lewat dan menggunakan alasan kerja yang bertimbun di pejabat. Dia juga sering menghadiri persidangan malah persidangan tersebut dibuat di luar daerah. Yang peliknya, walaupun si suami bekerja lebih daripada biasa, gajinya tetap sama. Jika ini berlaku, jangan buang masa, inilah masanya untuk anda selidik dan pastikan kebenarannya.

4. Suami mula berahsia tentang kewangannya

Memahami bagaimana kewangan suami digunakan adalah bahagian yang paling besar untuk mempelajari sama ada suami menipu atau tidak. Sejak berkahwin dengan anda, suami tidak pernah merahsiakan tentang segala sumber pendapatannya, malah anda juga tahu berapa jumlah yang didapatinya setiap bulan dan ke manakah setiap ringgit wangnya dibelanjakan.

Satu hari anda terjumpa sekeping kad kredit baru di dalam dompetnya, sedangkan anda sendiri pun tidak tahu bila dia mula memiliki kad tersebut.

Mungkin suami akan mengatakan kepada bahawa itu haknya. Tanpa syak lagi, inilah petanda amaran yang dia mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Jika suami anda memiliki keempat-empat petanda di atas, awas inilah masanya anda perlu mengubah kepercayaan yang telah anda berikan padanya. Tambah ilmu anda secukupnya tentang langkah dan tindakan yang perlu diambil.

Yang paling penting cuba bersikap tenang dalam menghadapi situasi ini. Cuba yang terbaik sama ada untuk terus bersama atau sebaliknya. Ingatlah, apa jua pilihan, semuanya terletak di tangan anda.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts