Jumaat, Februari 13, 2009

David Arumugam, Kathy dianugerah Datuk


Dua penyanyi popular tanah air, David Arumugam dan Khadijah Ibrahim atau Kathy dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lepas.

Penyanyi utama kumpulan Alleycats itu atau nama sebenarnya Thiagarajan K.R. Arumugam dan Khadijah adalah antara 66 penerima darjah DIMP yang menerima anugerah masing-masing daripada baginda dalam satu istiadat di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Khadijah atau panggilan glamornya Khaty merupakan penyanyi sepanjang zaman yang telah berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri hiburan tanah air dan terkenal dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Ketika ditemui, David, 57, berkata, anugerah itu merupakan satu penghargaan kepada kumpulan Alleycats yang telah berkecimpung dalam industri hiburan tanah air selama hampir 40 tahun.

''Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan setelah 40 tahun dalam industri seni.

''Ia adalah satu penghargaan kepada saya dan adik saya (Logan) yang telah meninggal dunia selain untuk peminat-peminat Alleycats," katanya.

Sementara itu, seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Noor Ashikin Sultan Abu Bakar menerima peringkat kedua Darjah Indera Mahkota Pahang Yang Amat Mulia (DIMP) mendahului senarai penerima darjah kebesaran dengan diikuti tiga menteri Kabinet pada istiadat kali ini.

Tiga menteri tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Mohd. Zin Mohamed dan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.

Masing-masing menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah peringkat pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Pengarah Urusan Malaysia Steel Works Bhd., Tai Hean Leng.

Pada istiadat itu juga, tiga orang menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dan lapan penerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.