Isnin, Januari 26, 2009

Sentuhan muzik ekspres - Nokia 5800 XpressMusic


Dalam menghadapi persekitaran dunia hiburan digital, setiap individu tentunya menginginkan kemudahan aplikasi capaian permainan muzik di hujung jari pada bila-bila masa.

Impian tersebut kini bakal direalisasikan apabila syarikat pengeluar telefon bimbit terkenal, Nokia baru-baru ini telah melancarkan model terbarunya Nokia 5800 XpressMusic.

Ia merupakan telefon bimbit Nokia pertama yang menampilkan fungsi skrin sentuh S60 dan menawarkan pengguna dengan pengalaman permainan muzik universal yang cukup unik.

Menurut Pengarah Urusan Nokia Malaysia, Vlasta Berka, pelancaran produk terbaru itu secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna di seluruh dunia menikmati muzik mengikut cara mereka sendiri dengan lebih kebebasan.

"Walaupun menawarkan aplikasi muzik berkuasa, namun telefon bimbit ini masih mengekalkan fungsi asalnya sebagai sebuah alat telekomunikasi," katanya.

Bagi merealisasikan teknologi sentuhan pada telefon bimbit pintar berkenaan, ia dilengkapi dengan aplikasi seperti butang mengakses nombor telefon, butang media dan butang capaian mudah seperti menu dan profil.

Melalui aplikasi butang media, pengguna akan dapat mengakses perkhidmatan hiburan seperti muzik, foto dan video hanya melalui menu drop down.

Selain itu, menerusi sokongan perisian Flash pula, telefon bimbit tersebut juga membenarkan pengguna menjalankan aktiviti perkongsian secara dalam talian dan melayari laman web secara menyeluruh.

Dengan misi membekalkan pengalaman muzik secara total, ia turut didatangkan dengan 1,000 buah lagu dari album artis tempatan dan juga antarabangsa.

Paling menarik, Nokia 5800 XpressMusic disempurnakan lagi dengan pelbagai perkhidmatan keperluan muzik seperti equalizer grafik, memori lapan gigabait (GB) untuk simpanan sehingga 6,000 buah lagu pelbagai format serta pembesar suara stereo binaan dalam berkuasa.

Inovasi butang akses nombor telefon pula membenarkan pengguna memilih empat nombor utama untuk dipaparkan pada skrin supaya aktiviti seperti memanggil, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel dan proses kemas kini blog dapat dilakukan dengan pantas.

Dengan kejelasan paparan terbaik, telefon bimbit berkenaan didatangkan dengan skrin bersaiz 3.2 inci sesuai untuk tontonan foto, klip video atau melayari laman web.

Ia juga dilengkapi kamera VGA 3.2 megapiksel dengan lensa Carl Zeiss untuk tujuan rakaman dan permainan semula video berkualiti tinggi.

Hanya melalui sentuhan mudah, sesebuah imej atau video dapat dikongsi menerusi laman web komuniti kegemaran pengguna seperti Share on Ovi, Flickr, atau Facebook.

Untuk tujuan berkongsi senarai lagu pula, ia boleh dilakukan melalui aplikasi Bluetooth, khidmat pesanan multimedia (MMS) atau perkongsian dalam talian.

Dengan segala kelebihan tersebut, Nokia 5800 XpressMusic kini ditawarkan dengan harga pasaran RM1,499. Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh didapati di laman web www.nokia.com.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts