Jumaat, Januari 09, 2009

Rakyat berhak boikot

Rakyat berhak untuk memboikot barangan dari Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda simpati terhadap penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terserah kepada kebijaksanaan rakyat untuk mengambil apa jua tindakan yang dirasakan boleh memberi kesan kepada kuasa besar itu untuk menghentikan kezaliman Israel.

''Ini adalah kerana mereka (rakyat) bukan setakat simpati, tapi beri sokongan secara langsung kepada rakyat Palestin.

''Apa yang dibuat oleh pertubuhan atau individu berhubung perkara ini kerajaan tidak akan halang... itu adalah kebijaksanaan rakyat dan kita menghargainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai penghantaran 18 tan metrik daging korban dalam tin oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, apa saja cara yang difikirkan boleh menyedarkan kuasa besar tentang kezaliman Israel perlu dilakukan dengan segera.

Kata beliau, sebaik-baiknya tindakan itu dilakukan secara kolektif agar kesannya boleh dirasai dan diikuti oleh masyarakat dunia.

''Apa cara sekali pun efektif atau tidak, yang boleh membawa kesan langsung atau tidak langsung untuk sedarkan kuasa besar tentang kezaliman Israel mesti dibuat.

''Sebaiknya, ia bukan dibuat secara individu, tapi secara kolektif atas persefahaman bersama yang mungkin membawa kesan dan dilanjutkan ke seluruh dunia Islam serta membangkitkan bantahan oleh seluruh dunia," ujarnya.

Beliau memuji langkah IRM menghantar bantuan makanan kepada rakyat Palestin kerana dalam keadaan sekarang, sebarang bentuk pertolongan adalah dialu-alukan oleh masyarakat negara itu.

Muhyiddin mahu supaya usaha sedemikian dipertingkatkan oleh badan-badan lain dan berdasarkan situasi yang amat buruk dan mendesak di negara itu, sebarang tindakan untuk membantu rakyat Palestin perlu dilakukan dengan cepat.

''Faktor masa bagi saya amat mustahak untuk diambil kira, justeru saya berharap IRM dan badan-badan belia yang lain dapat mengumpul sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada penduduk Palestin," ujarnya.

Beliau berharap, usaha yang dilakukan rakyat Malaysia bukan terhad oleh masyarakat Islam saja, sebaliknya masyarakat negara ini secara keseluruhan mesti digerakkan untuk mengumpul bantuan tidak kira latar belakang agama.

Jelas beliau, isu yang dihadapi sekarang bukan isu politik, tetapi isu kemanusiaan yang perlu ditangani bersama.

- Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts