Rabu, Januari 21, 2009

Norman & Memey nafi khalwat


Pelakon popular drama bersiri Gerak Khas, Norman Hakim dan pasangan wanita yang ditangkap berkhalwat dengannya Oktober lalu, Memey mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon drama itu yang nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pasangan itu yang berpakaian sedondon hitam putih kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Mereka yang tidak diwakili peguam tiba di pekarangan mahkamah jam 8.45 pagi ditemani keluarga menaiki kereta berlainan.

Wan Mahyuddin membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin kakitangan awam dan menetapkan 3 Mac ini untuk perbicaraan kes.

Norman ketika ditemui di luar mahkamah menyifatkan peristiwa itu satu pengajaran buat mereka dalam proses kehidupan yang perlu ditempuhi.

"Saya juga akan meminta pandangan mahkamah bagi mendapatkan penyelesaian terbaik supaya semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Memey berkata, perkara paling penting baginya ialah kes itu dapat diselesaikan secara baik.

Pada 18 Disember lalu di mahkamah sama, Norman menitiskan air mata ketika mengucapkan lafaz cerai terhadap isterinya, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 32.

Pasangan itu bernikah pada 8 Januari 2002 dan bercerai kali pertama dengan talak satu pada 5 Mei 2006 dan disahkan bercerai di mahkamah sama pada 10 Mei 2006 sebelum rujuk semula keesokan harinya.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Mohamed Danish, 6; Marissa Dania, 4; dan Maria Danisha, empat bulan.

- Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts