Selasa, Januari 27, 2009

Lebih 1,000 pelawat saksi gerhana 'matahari sabit' di Planetarium Negara


Lebih 1,000 warga kota serta pelancong asing menyaksikan fenomena gerhana matahari separa sehingga kelihatan seperti 'matahari sabit' di Planetarium Negara di sini hari ini.

Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Lau Chen Chen berkata, fenomena tersebut dapat disaksikan di seluruh negara bermula pada pukul 4.30 petang sehingga 7.00 malam.

Menurutnya, fenomena itu terjadi apabila bulan merentasi matahari, tetapi tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan yang lebih kecil daripada matahari.

''Fenomena itu adalah sesuatu yang menakjubkan dan jarang berlaku kerana bumi bergerak di atas orbit yang mengelilingi matahari, sementara bulan pula mengelilingi bumi di atas orbitnya sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pengunjung, Mohd. Shakh Mohd. Thami memberitahu, kehadirannya di Planetarium Negara bersama isteri dan lima orang anaknya bertujuan mencerap fenomena yang jarang berlaku itu.

Katanya, program anjuran Angkasa itu berfaedah untuk seisi keluarga serta berupaya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ilmu astronomi.

''Fenomena ini juga menunjukkan kekuasaan Allah dan kebenaran agama Islam kerana perbezaan landasan bumi dan bulan telah diperjelaskan melalui al-Quran sejak beribu-ribu tahun dahulu," katanya.

Sementara itu, Sanjeev Singh, 11, teruja menyaksikan fenomena berkenaan kerana tidak menyangka ia boleh terjadi.

''Ini adalah pengalaman pertama saya menyaksikan gerhana matahari dan saya akan menceritakannya kepada rakan-rakan sekolah yang tidak berkesempatan melihat kejadian ini.

''Sungguh menakjubkan, buat pertama kali saya saksikan matahari kelihatan seperti bulan sabit," jelas murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara ini.

Pengerusi Eksekutif Aerospace Education Services Sdn. Bhd., Sam Gibbs pula berpendapat, rakyat negara ini mempunyai minat yang tinggi dalam bidang astronomi dan ia merupakan petanda baik dalam perkembangan industri tersebut di Malaysia.

''Angkasa melakukan tugas yang baik untuk menyedarkan orang ramai mengenai fenomena ini.

''Bagaimanapun ia perlu dipertingkatkan lagi untuk memupuk minat yang lebih mendalam di kalangan para pelajar," katanya yang turut membawa tiga kanak-kanak tempatan dari sekitar Chow Kit ke program itu.

Sementara itu, Chen Chen menambah, fenomena itu berlaku ekoran kejadian Gerhana Matahari Anulus selama hampir empat jam, bermula dari lautan India ke sebelah barat Indonesia

Katanya, di Sabah dan Sarawak, fenomena itu menyaksikan cahaya matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai liputan maksimum 82.6 peratus, sementara ibu kota hanya sebanyak 64.1 peratus.

Kali terakhir gerhana seumpamanya dilihat di Malaysia ialah pada 2002 dan dijangka berlaku lagi pada 15 Januari 2010.

- Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts