Jumaat, Januari 16, 2009

Boikot! boikot! produk Israel-Amerika

Oleh ZULKIFLI JALIL
(WARTAWAN UTUSAN)

DI tengah-tengah kota metropolitan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semalam, Setiausaha Gabungan Badan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli hanya sekadar mampu menggelengkan kepalanya.

Di kafe-kafe makanan Barat berjenamakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel tetap sesak dikunjungi. Di restoran-restoran ayam goreng terkenal, pemandangannya juga sama. Nampaknya, kempen memboikot sama ada produk Israel atau AS sejak empat hari lalu sebagai tindak balas kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin, tidak berhasil.

''Lebih menyedihkan lagi, menerusi pemantauan anggota-anggota kami dalam kempen boikot produk Israel di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Johor Bahru ini, turut sama kelihatan di restoran dan kafe ini adalah kelibat pelancong Arab.

''Rakyat kita tidak kisah nasib rakyat Palestin, asyik penuh restoran-restoran itu," keluh Mohd. Jurit, 38, yang melepaskan perasaannya dalam kunjungannya ke pejabat cawangan Utusan Malaysia di Putrajaya, semalam.

Mohd. Jurit, yang mengendalikan badan yang menaungi 150 NGO dengan keanggotaan 50,000 orang itu membawa penulis kepada pengalamannya sewaktu bertugas menyertai misi pengaman Malbatt 3 di Bosnia pada 1995/1996.

''Saya dapat menyelami sendiri penderitaan penduduk Palestin kerana semasa bertugas di Bosnia, banyak pengalaman melihat mangsa perang melekat di kepala sampai ke hari ini.

''Acap kali penduduk Bosnia ini akan singgah di kem-kem kami untuk bertukar-tukar barang atau dalam bahasa sana dipanggil 'poklon'. Kami tukar barang-barang perhiasan atau gambar dinding mereka dengan beberapa buku roti dan makanan," kata bekas koperal itu.

Paling menyayat hati beliau adalah apabila menemui banyak anak kecil di taman-taman perumahan dekat Konjic dan Kosovo yang menangis kelaparan di sisi mayat ibu bapa dan anggota keluarga dewasa sambil kesan tembakan terpapar di dada dan kepala.

''Kami yang pernah bertugas di negara-negara yang dilanda konflik peperangan ini menyelami dan faham erti penderitaan penduduk Palestin ketika ini. Tapi apabila berada di tengah-tengah Kuala Lumpur semalam, hati saya macam disiat-siat kerana kempen boikot produk Israel dan Amerika ini memang tiada kesan, terpaksalah kena fikir cara lain," katanya.

Ketika melihat sikap ambil mudah sebilangan warga kota terhadap kempen boikot produk itu, Mohd. Jurit mengandaikan mereka seolah-olah sudah 'diprogramkan' untuk tidak berasa apa-apa kesengsaraan penduduk Palestin.

Kerana itu, apabila gabungan NGO beliau mengadakan demonstrasi menggesa kerajaan jangan melayan desakan pihak tertentu supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, Mohd. Jurit meminta rakyat Malaysia memikirkan risiko yang bakal dihadapi jika ISA ditiadakan.

''ISA ini perlu untuk menjamin ketenteraman awam dan negara keseluruhannya. Saya cabar mereka jangan asyik gesa tu, desak ni dalam 'aircond'. Salinlah pakaian mereka dengan baju tentera, kemudian ke medan perang jika suatu hari nanti ketenteraman negara tidak terjaga tanpa satu akta pencegahan seperti ISA," katanya.

Walaupun antara alasan popular diterima "kalau aku seorang sahaja yang boikot, tak menjadi juga," Mohd. Jurit bertekad meneruskan pemantauan itu esok. Matlamatnya hanya satu. Mahu menjelaskan secara rasional kesan jika tiada tindak balas rakyat Malaysia ke atas produk Israel, hasil keuntungannya digunakan untuk membeli peluru yang membunuh rakyat Palestin.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts