Isnin, Disember 01, 2008

Melayu Kena Bersatu, Kuasai Ilmu Untuk Berjaya

Walaupun Malaysia kini sudah melangkah ke era pemodenan dan pembangunan pesat, malah bakal mencapai status negara maju pada 2020, pencapaian Bumiputera khususnya orang Melayu dalam kebanyakan bidang masih tertinggal di belakang. Justeru, perjuangan untuk terus menjadikan orang Melayu bangsa yang bermartabat, bermaruah dan berjaya dalam semua aspek masih belum selesai.

Mahu tidak mahu, kita tidak mempunyai pilihan selain daripada menentukan kejayaan bagi orang Melayu sekiranya kita mahu terus duduk dan berdiri sama gagah dengan bangsa lain di dalam dan luar negara. Pesanan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin bahawa parti Umno dan orang Melayu tidak boleh berkompromi dalam perjuangan memartabatkan serta menjadikan Melayu sebagai bangsa yang berjaya adalah amat relevan terutama dalam konteks hari ini.

Kita tidak mahu orang Melayu terus ditenggelami dalam arus pemodenan dan pembangunan, seterusnya menjadi bangsa yang ketinggalan atau hanya pemerhati terhadap kejayaan orang lain. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, perjuangan untuk berjaya memerlukan satu perjuangan yang berterusan dan untuk itu, kita kena berusaha bersungguh-sungguh walaupun ia mengambil masa yang panjang dan memaksa kita menempuh pelbagai halangan dan rintangan.

Abdullah ketika menegaskan perkara itu turut menyingkap perjuangan pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar yang berusaha menyatupadukan orang Melayu dengan slogannya ‘Hidup Melayu’ bagi menentang Malayan Union sebelum kemerdekaan dulu. Sebagai pejuang bangsa, Datuk Onn bukan saja berjaya menyatupadukan orang Melayu di Johor malah di seluruh negara dalam menentang gagasan itu.

Kalau dulu orang Melayu boleh membuktikan bahawa dengan perpaduan, bangsa Melayu mampu mencapai matlamat mereka iaitu mengusir penjajah, mengembalikan kuasa raja Melayu dan menegakkan martabat serta maruah bangsa bagi menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat, tidak ada sebab mengapa kita kini sebagai pewaris tidak boleh mengisi era pasca kemerdekaan ini dengan semangat yang sama cekal. Kini semangat perjuangan itu masih relevan dan perlu dihayati kerana ia adalah amanah Datuk Onn yang mahu melihat Melayu terus maju, bersatu dan berdaulat.

Antara faktor penentu kesinambungan kejayaan bangsa Melayu pada masa depan tentulah perpaduan yang kukuh serta usaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Malaysia kini sudah hampir 49 tahun merdeka dan dalam usia berkenaan, masih belum terlambat untuk kita terus memperkasakan perjuangan kita untuk membangunkan Melayu menerusi ilmu dan pendidikan. Kini pelbagai kemudahan disediakan bagi memberi peluang kepada orang Melayu untuk terus menimba ilmu setinggi mungkin.

Hanya pendidikan boleh membawa bangsa Melayu terus menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil dan sukar dicapai. Apa yang diperlukan adalah semangat untuk berjaya dan jati diri yang kukuh.

Orang Melayu tidak harus membuang masa dan tenaga dalam isu yang remeh atau berpuak-puak mengikut semangat kenegerian. Jika kita hendak terus menjadi bangsa yang berjaya, kita perlu terus hidup sebagai satu bangsa yang cekal dan bersatu serta mempunyai hala tuju yang jelas. Sememangnya perjuangan ini tidak ada kompromi dan ia memerlukan komitmen semua pihak.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts