Rabu, Disember 24, 2008

Kempen elak undi rosak

Elak undi rosak merupakan antara tumpuan kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu kerana kawasan itu mencatatkan 1,050 undi rosak pada pilihan raya umum Mac lepas, kata calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Ismail.

Sehubungan itu katanya, dalam kempen dari rumah ke rumah kelak, BN akan memberi penjelasan dan pendedahan mengenai cara yang betul untuk membuat pangkah pada kertas undi bagi mengelakkan undi rosak.

"Kita akan kenal pasti kenapa undi rosak, adakah ianya berbentuk protes yang maknanya pengundi tidak bersetuju dengan calon yang menawarkan diri atau ianya kerana pengundi berkenaan tidak tahu macam mana nak pangkah dengan betul.

"Sebab itu kempen dari rumah ke rumah termasuk mendedahkan kepada pengundi-pengundi bagaimana cara membuat pangkah yang betul untuk kurangkan jumlah undi yang rosak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas upacara mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.

Wan Ahmad Farid, 46, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu diumumkan sebagai calon BN untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Razali menewaskan Mohamad Sabu (Pas) dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, sepanjang tempoh berkempen nanti, beliau tidak akan sesekali menyerang peribadi calon-calon lain.

"Saya tidak akan kempen berdasarkan kempen yang negatif atau kempen yang berasaskan kepada karakter, siapa jua calon pembangkang, Pas atau Bebas.

"Asas kepada kempen saya bukan berasaskan kepada kekurangan calon pembangkang tapi perkara yang positif berhubung kempen saya," katanya.

Menyentuh mengenai peluang beliau dalam pilihan raya kecil 17 Januari depan, Wan Ahmad Farid berkata beliau akan mendekati semua pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya akan mengetuk pintu mereka, bertanya khabar, dan meminta mereka memberi peluang kepada saya untuk meneruskan agenda yang belum selesai oleh Allahyarham Datuk Razali. Selebihnya saya menyerahkan kepada mereka (pengundi) untuk mem buat keputusan dan juga Allah SWT," katanya.

- Bernama

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts