Jumaat, November 07, 2008

Bayaran ex-gratia 6 hakim RM10.5j

Kerajaan memberikan ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas serta lima lagi hakim kanan yang ditamatkan perkhidmatan ketika krisis kehakiman 1988.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kerajaan memutuskan membayar RM5 juta kepada Salleh manakala Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Edward Seah Kim, masing-masing mendapat RM2 juta.

Tan Sri Mohamed Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh pula masing-masing memperoleh ex-gratia RM500,000.

Mohamed Nazri mengumumkan perkara itu ketika pembahasan Bajet 2009 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam .

Pada 16 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan memutuskan untuk memberikan ex-gratia kepada enam hakim yang ditamatkan perkhidmatan ketika krisis kehakiman 1988 sebagai menghargai sumbangan mereka.

Bagaimanapun, kerajaan pada ketika itu tidak mendedahkan jumlah bayaran ex-gratia berkenaan.

Pada 1988, kerajaan menubuhkan tribunal khas untuk mendengar tuduhan salah laku terhadap Salleh selepas beliau menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi melahirkan kekecewaan terhadap tuduhan yang dibuat kepada sistem kehakiman.

Tribunal kehakiman yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong mencadangkan perkhidmatan Salleh dan lima hakim Mahkamah Agung itu ditamatkan atas dakwaan salah laku.

Pada sidang medianya di luar Dewan, Mohamed Nazri berkata semua bekas hakim terbabit turut menerima pencen bulanan dengan Salleh sebanyak RM5,102.16, Seah (RM5,919.90), Hamzah (RM6,508.59), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) manakala Azmi (RM5,916).

“Pencen itu bermula sejak mereka bersara," katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu atas gesaan Ahli Parlimen pembangkang serta masyarakat yang ingin mengetahui berapakah jumlah sebenar pampasan yang dibayar kepada hakim terbabit.

“Kita tidak umum sebelum ini adalah atas kehendak hakim berkenaan tapi ia berubah berikutan permintaan orang ramai kerana ia juga wang rakyat,” katanya.

Minggu lalu, Mohamed Nazri dalam penggulungan perbahasan Bajet 2009 memberi jaminannya bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar pembayaran ex-gratia kepada Salleh dan lima hakim kanan terbabit.

Beliau turut menjelaskan, keenam-enam hakim kanan itu ditamatkan perkhidmatan dan bukannya dipecat, maka mereka layak mendapat pencen.

“Tribunal mendapati mereka melakukan kesilapan dan diberhentikan awal, jadi pencen tetap berjalan,” katanya.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts