Selasa, November 25, 2008

5 terima Anugerah Merdeka


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam tadi menyampaikan Anugerah Merdeka 2008 kepada lima penerima sulung sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam bidang masing-masing untuk manfaat rakyat dan negara ini.

Perdana Menteri menyampaikan sijil, piala dan wang tunai berjumlah RM500,000 kepada setiap penerima anugerah membabitkan tiga individu dan dua organisasi yang melalui proses penilaian berasaskan merit pencapaian mereka tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau ideologi.

Penerima terbabit adalah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid untuk kategori Pendidikan dan Komuniti; Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Profesor Datuk Dr Khalid Kadir (Kesihatan, Sains dan Teknologi); Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Alam Sekitar) dan Datuk Leslie Davidson untuk kategori Sumbangan Ulung kepada Rakyat Malaysia.

Ungku Abdul Aziz dipilih kerana sumbangannya terhadap pembasmian kemiskinan, peningkatan ekonomi luar bandar, penubuhan Tabung Haji dan pendidikan; Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya pula kerana berjaya menghasilkan penemuan dan pemahaman punca, kesan dan pengawalan jangkitan viral Ensefalitis Nipah dan Profesor Datuk Dr Khalid Kadir kerana penyelidikan dan pemahaman mengenai kencing manis serta kaitan antara hormon dan tekanan dalam pelbagai jenis tisu.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia kerana inisiatif pemuliharaan Kompleks Hutan Belum-Temenggor dan Datuk Leslie Davidson kerana memperkenalkan serangga pendebungaan Elaeidobius Kamerunicus dari Afrika di kawasan penanaman kelapa sawit di Malaysia, yang merancakkan pembangunan industri kelapa sawit.

Bagaimanapun tiada pemenang bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Anugerah Merdeka diwujudkan pada 27 Ogos 2007 untuk memberi anugerah kepada individu dan badan unggul yang menyumbang ke arah kemajuan negara.

Ia juga bertujuan menggalakkan kepemimpinan berfikiran dan inovasi, memupuk budaya kecemerlangan dan menggalakkan pandangan global, seterusnya menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik.

Anugerah inisiatif Petronas dan diasaskan bersama ExxonMobil serta Shell itu dilancarkan Perdana Menteri tahun lalu.

Mohd Hasaan berkata, anugerah itu bermatlamat untuk menjadi program anugerah paling berprestij di negara ini yang khusus meraikan, mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan.

- Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.